Wanita UMNO tubuh kumpulan pemantau
KUALA LUMPUR - Wanita UMNO akan menubuhkan kumpulan pemantau bagi meneliti dasar dan polisi Kerajaan Perpaduan agar tidak tersasar daripada landasan sebenarnya.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kumpulan itu akan dikelolakan oleh Sekretariat Undang-Undang dan Hal Ehwal Agama Wanita UMNO.
“Sebarang bentuk kelompangan dasar yang boleh memudaratkan orang Melayu dan Islam perlu kita elakkan,” katanya ketika menggulung ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noraini turut menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi bakal menjadi penentu jatuh dan bangun parti itu.
PRN itu katanya, sangat penting yang akan menentukan hala tuju parti itu pada masa akan datang.
“UMNO perlu segera menentukan jalur politik yang hendak dibawa,” ujarnya.
Pada Khamis, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh.
Mengambil kira tempoh pembubaran itu, PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos, iaitu 60 hari daripada tarikh pembubaran.
PRN itu perlu diadakan memadangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!