Henti serang bekas pemimpin UMNO
SHAH ALAM - Pemuda UMNO Bahagian Kapar menggesa ahli parti itu berhenti bertelagah dan menyerang bekas pemimpin parti yang sebelum ini banyak jasa terhadap negara.
Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Affifi Aris berkata, setiap pemimpin ada jasanya.
"Jangan kita nafikan kerana ketika mereka berjaya melaksanakan dasar untuk kebaikan negara, kerajaan dan parti pada ketika itu mereka adalah pemimpin kita.
"Walaupun mereka sudah tidak bersama kita dek kerana berehat, kalah dalam pemilihan, digantung atau dipecat, kita mesti mengambil pendekatan memujuk dan mengajak mereka bersama kita semula," kata dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis.
Beliau menambah, UMNO mesti mengakui parti itu semakin lemah dan tidak diterima oleh masyarakat khususnya orang Melayu
Sehubungan itu, beliau berkata, mengumpul bekas pemimpin pemimpin UMNO adalah untuk kebaikan kita bersama.
"Natijahnya, ianya untuk UMNO dan bukan individu-individu tertentu. Ketepikan perbezaan kita sementara dengan apa yang telah berlaku.
"Perkara utama kita perlu pulihkan bersama wajah dan jenama UMNO ini. Tolong dan bantu wahai pemimpin pemimpin kami, kami anak muda masih sayang UMNO dan mahu melihat UMNO kembali gemilang di persada politik negara," katanya.
Beliau turut berkata, ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Salleh wajib disambut baik semua pihak terutamanya pewaris UMNO iaitu Pemuda dan Puterinya.
Pada Khamis, Akmal dalam sebahagian ucapan tersebut menggesa agar ahli tidak terus dibuai dengan memori sejarah.
Beliau sebaliknya berkata, sejarah sepatutnya menjadi guru yang membangkitkan, bukan dodoian yang melenakan.
"Kuatnya UMNO dahulu, adalah jasa mereka yang terdahulu. Realiti UMNO hari ini, amanah untuk kita tangani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!