Akmal tak mahu tarik balik kenyataan keras terhadap DAP
KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkeras tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuatnya semasa ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, di sini pada Khamis.
Ia dipercayai merujuk kepada tuntutannya agar DAP memohon maaf dan menarik balik segala tohmahan dilemparkan terhadap UMNO yang telah mengguris hati ahli sehingga kini.
“Saya nak beritahu, kenyataan yang telah dibuat pada pagi tadi, tidak sama sekali akan ditarik. Itu muktamad.
“Biarlah orang kata kita langau, orang kata kita biadab. Apa yang kita tahu, Pemuda UMNO membawa suara rakyat. Kita tak gentar apa yang berlaku di depan, selagi mana kita membawa suara keramat akar umbi UMNO,” katanya semasa ucapan penangguhan.
Jelas Muhamad Akmal, kenyataan itu dibuat kerana sayangkan parti dan apa yang disuarakan adalah kehendak akar umbi.
“Datuk Seri Bung Moktar Radin (Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO) dalam ucapannya tadi ada menyebut Uraa (teriakan untuk membangkitkan semangat bala tentera Rusia). Apa yang penting, kami sayang parti.
“Kalau tak sayang, kami tak cakap perkara yang betul dan duduk dalam dewan ni. Pemuda yang ada di depan ini ada ketika UMNO kalah teruk dan kekal setia dalam parti tatkala ada yang lari tempat lain. Bila cakap sayang, maksudnya kita betul-betul sayang parti ini,” jelasnya.
Dalam ucapan dasarnya sebelum itu, beliau berkata permohonan maaf daripada DAP berupaya melembutkan hati ahli-ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.
Muhamad Akmal juga meminta DAP membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap-cakap tentang parti itu yang anti Melayu, anti Islam, perkauman serta berpusatkan komunis tidak akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, ia tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana DAP telah beberapa kali pendirian mereka berhubung perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!