Mac Allister pembelian pertama Liverpool
LIVERPOOL menandatangani Alexis Mac Allister dari Brighton & Hove Albion dengan kontrak jangka panjang, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu, pada Khamis ketika The Reds dalam usaha membina semula kekuatan kelab Merseyside untuk musim depan selepas mengharungi kempen mengecewakan.
Butiran kewangan mengenai perpindahan itu tidak didedahkan, namun media Britain melaporkan bahawa bayaran untuk pemain tengah Argentina tersebut ialah 55 juta pound ($68.51 juta).
“Rasanya menakjubkan. Ia adalah impian yang menjadi kenyataan, sungguh menakjubkan berada di sini dan saya tidak sabar untuk memulakannya.
“Saya mahu berada dalam (dari) hari pertama pramusim, jadi ada baiknya semuanya selesai. Saya tidak sabar untuk bertemu rakan sepasukan saya,” kata Mac Allister dalam satu kenyataan.
Mac Allister membantu Brighton mara ke pentas kelab bola sepak Eropah buat kali pertama dalam kempen cemerlang 2022-23, menjaringkan 10 gol liga dalam 35 penampilan ketika mereka menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris.
Pemain berusia 24 tahun itu, yang menandatangani kontrak baharu dengan Brighton pada Oktober, menyertai The Seagulls pada Januari 2019 dan dipinjamkan semula kepada bekas kelab lamanya Argentinos Juniors sebelum membuat penampilan pertama Brighton pada Mac 2020.
Dia telah menjaringkan 20 gol dalam lebih 100 penampilan untuk kelab itu dalam semua pertandingan.
Pemain tengah itu mempunyai 16 caps untuk Argentina dan bermain enam perlawanan dalam kempen Piala Dunia Qatar 2022, termasuk perlawanan akhir, yang menyaksikan pasukan Lionel Scaloni menewaskan Perancis menerusi sepakan penalti.
Mac Allister adalah pembelian pertama Liverpool yang dijangka akan menjadi jendela perpindahan yang sibuk di Anfield di bawah pengarah sukan baharu Jorg Schmadtke.
“Sejak saya memenangi Piala Dunia, saya mahu memenangi lebih banyak trofi dan saya fikir kelab ini akan membantu saya melakukannya.
“Itulah matlamatnya dan apabila anda berada dalam kelab besar seperti ini anda perlu memenangi trofi. Jadi, itulah yang saya mahu,” tambah Mac Allister
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menyasarkan untuk merombak barisan tengah The Reds selepas pemergian James Milner, Alex Oxlade-Chamberlain dan Naby Keita pada akhir kontrak masing-masing.
Sebagai rekod, Liverpool akan beraksi dalam saingan Liga Europa musim depan selepas menamatkan kempen mengecewakan di tempat kelima.
Liverpool terlepas Liga Juara-Juara dan kedua-dua piala domestik, memulakan rentak liga tanpa kalah 11 perlawanan termasuk tujuh kemenangan berturut-turut, namun menamatkan saingan di luar kelompok empat teratas buat kali pertama sejak 2016-17.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!