Kedutaan, polis Thailand bekerjasama kesan rakyat Malaysia hilang
BANGKOK - Kedutaan Malaysia di Bangkok bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand, khususnya Polis Diraja Thailand (RTP) untuk mengesan wanita Malaysia yang hilang selepas kali terakhir dilihat di daerah Mae Sai di wilayah Chiang Rai.
Media melaporkan, Chong Sum Yee, 22, telah berlepas ke Chiang Mai pada 29 Mei dan menuju ke Mae Sai di wilayah Chiang Rai, yang bersempadan dengan Tachilek di Myanmar, lokasi insiden pemerdagangan orang telah dilaporkan berlaku sebelum ini.
Polis Thailand berkata, siasatan awal mendapati jurusolek itu telah menyeberang sempadan ke Tachilek, Myanmar.
"Kami bekerjasama rapat untuk mengesan dia (Sum Yee) dan memastikan keselamatannya," kata Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.
Semalam, seorang wanita dipercayai Sum Yee muncul dalam tiga video dalam talian untuk membuktikan dia dalam keadaan 'selamat dan sihat'.
Wanita itu muncul dengan senyuman dalam tiga video berkenaan dan meminta polis supaya berhenti mengganggu pemandu yang menghantarnya ke sana kerana pemandu itu tidak tahu-menahu mengenai keadaannya.
Namun, ibunya, Chee Choy Wen yang tiba di Mae Sai pada Rabu berkata, anaknya belum menghubungi ahli keluarga.
"Selagi saya tidak dapat bertemu dengannya dan memeluknya (Sum Yee), saya akan terus mencarinya," katanya dalam catatan di Facebook.
Sementara itu, polis Thailand masih meneruskan usaha untuk mengesan Sum Yee. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Gadis warga Malaysia dilapor hilang di Thailand
Polis Thailand giat kesan warga Malaysia yang hilangMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!