Tiga beradik maut nahas lori, kren

Keadaan lori dinaiki tiga beradik dan kren yang terlibat nahas di Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sepakat di sini pada petang Khamis.
Keadaan lori dinaiki tiga beradik dan kren yang terlibat nahas di Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sepakat di sini pada petang Khamis.
A
A
A

ROMPIN - Tiga beradik maut selepas lori dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kren di Kilometer 136 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sepakat di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 petang itu, pemandu lori, Muhammad Solihin Bin Abu Bakar, 21 dan abang, Muhammad Firdaus Abu Bakar, 28, serta adiknya Ahmad Jazuly Abu Bakar, 17, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, semua mangsa yang maut beralamat di Jalan Sungai Kolek di sini.

Menurutnya, pemandu kren, Mohd Termizi Gulam Nabi, 38, pula cedera.

"Siasatan awal mendapati, lori jenis Toyota Hiace yang dipandu pelajar Politeknik Muadzam Shah itu dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan, manakala kren dari arah bertentangan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kren," katanya.

Anggota bomba dari BBP Rompin membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sepakat pada petang Khamis.
Anggota bomba dari BBP Rompin membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sepakat pada petang Khamis.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sembilan anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Sebaik tiba, dua mangsa didapati tersepit dan salah seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Dua lagi mangsa dikeluarkan dengan bantuan orang awam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Rompin menggunakan ambulans dan kenderaan EMRS bomba.

"Mangsa yang maut di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!