Nekad mahu bina pesawat ringan sendiri
MARAN - Pernah menyimpan impian bergelar juruterbang, seorang pemilik bengkel di sini sanggup melaburkan wang untuk membina pesawat ringan idamannya yang kini sudah siap kira-kira 70 peratus setakat ini.
Setakat ini, anak jati Kampung Senggora, Maran, Mohd Zaki Zahari, 58 sudah berbelanja kira-kira RM10,000 dan sedang gigih menyiapkan pesawat jenis seaplane di bengkel miliknya di Kampung Balik Ramu di sini sejak Mei tahun lepas.
Menurutnya, hasil idea untuk membina pesawat ringan itu tercetus selepas hampir 34 tahun dia bergiat aktif dalam hobi bermain kapal terbang dan helikopter kawalan jauh (RC) malah sepanjang tempoh terbabit, sudah banyak model pesawat RC yang dibinanya menggunakan pelbagai bahan termasuk dari bahan terpakai.
“Dari aspek teknikal, kapal terbang RC hampir sama dengan pesawat sebenar kerana kebanyakan model pesawat yang dibina menggunakan pelan pesawat sebenar dengan mengecilkan skala asal.
“Dari situ datang idea kenapa saya tidak membina satu pesawat dengan skala sebenar yang boleh diterbangkan dari dalam kokpit,” kata bapa kepada tujuh cahaya mata itu lagi.
Ditanya penghasilan pesawat itu, Mohd Zaki menceritakan sebahagian bahan yang digunakan adalah daripada barangan terpakai seperti daripada papan tanda.
"Namun saya terpaksa melabur untuk membeli bilah kipas kerana mengambil kira faktor keselamatan.
"Selain itu, saya turut menggunakan enjin kereta Volkswagen Beetle 1200 cc yang telah dinaik taraf menjadi 50 kuasa kuda dan dijangka pesawat ini mampu terbang dengan kelajuan lebih 60 knot atau 120 kilometer sejam," ujar beliau.
Tambah beliau, pesawat sayap tetap (fixed-wing aircraft) yang dibinanya mempunyai ukuran panjang kira-kira enam meter, panjang sayap sembilan meter dan berat sekarang kurang daripada 200 kilogram (kg) serta dilengkapi dengan ‘Inclinometer’ dan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) untuk tujuan kawalan ketika penerbangan.
Dalam pada itu, Mohd Zaki memberitahu, beliau tidak dapat menjangkakan bila pesawat itu dapat disiapkan dan ia juga bergantung dengan keadaan kewangan.
Walaupun mengakui agak mustahil untuk dirinya sendiri dapat menerbangkan pesawat berkenaan apabila ia siap kelak berikutan kekangan peraturan-peraturan berkaitan penerbangan di negara ini namun ia tidak melemahkan semangat beliau untuk menyiapkan sepenuhnya pesawat tersebut.
"Malah sejak tular di platform TikTok baru-baru ini, ada peminat aktiviti ini dari luar negara yang menghubungi saya untuk bertukar pandangan kerana lelaki terbabit juga ada membina pesawat sendiri.
“Selain itu, saya sering bertukar fikiran dan meminta pandangan rakan-rakan terutama mereka yang berkongsi minat dan hobi yang sama.
“Biarpun agak mustahil untuk saya terbangkan pesawat ini disebabkan faktor undang-undang tetapi berharap hasil kerja saya ini dapat diiktiraf atau sekurang-kurangnya menjadi rujukan untuk pelajar dalam bidang kemahiran berkaitan aeroangkasa,” tambah Mohd Zaki lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!