Kebangkitan Gergasi Merah

Tonggak Selangor, Faisal Halim (dua dari kiri) meraikan jaringannya ketika aksi Liga Super menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Rabu.
Tonggak Selangor, Faisal Halim (dua dari kiri) meraikan jaringannya ketika aksi Liga Super menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KEJAYAAN Selangor FC melakar kemenangan besar 7-1 ke atas Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Rabu disifatkan satu kebangkitan semula buat The Red Giants.

Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe nyata gembira dengan kemenangan tersebut selepas anak-anak buahnya mengalami kekalahan mengejut 0-1 kepada PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Sabtu lalu.

“Ya, ini adalah satu kebangkitan selepas kalah kepada PDRM. Kita nampak sikap pemain juga berubah apabila mereka lebih positif bermula gol pertama hingga gol terakhir.

“Setiap kali kita cipta peluang, ia menghasilkan gol. Dari situ kita nampak keyakinan diri dalam kalangan pemain apabila mereka melakukan percubaan,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Ditanya sama ada tujuh gol itu merupakan hadiah sempena hari lahirnya pada 30 Mei lalu, Cheng Hoe menjawab: “Setiap kali pasukan melakar kemenangan, ia merupakan hadiah paling manis buat saya.

“Apa pun saya anggap setiap kemenangan sebagai satu motivasi dalam pasukan. Kemenangan ini juga bukan hasil usaha saya seorang tetapi hasil kerja keras setiap pemain dan barisan kejurulatihan,” jelasnya.

Pada masa sama, Cheng Hoe mengakui kemenangan itu penting bagi memastikan Selangor terus memberikan saingan kepada penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Sudah tentu tiga mata penting untuk memastikan pasukan berada dalam kedudukan terbaik. Selepas break nanti, kita juga perlu bekerja keras kerana dalam tiga minggu selepas ini, kebanyakan pemain ada komitmen bersama pasukan kebangsaan.

“Ia secara tidak langsung akan menjejaskan persiapan pasukan. Namun, barisan kejurulatihan percaya pemain yang bersama skuad kebangsaan nanti akan mendapat pengalaman untuk meningkatkan prestasi pasukan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!