Relevan surat khabar dalam era digital

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KETIKA pelancaran Hari Wartawan Nasional baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut bahawa surat khabar masih lagi relevan walaupun seluruh dunia sudah beralih ke media digital.

Tidak dinafikan, teknologi moden mampu mengubah rutin harian manusia walaupun mengambil sedikit masa, namun masih belum dapat mengatasi peranan surat khabar dalam mengubah masyarakat.

Satu aspek yang menjadi kekuatan surat akhbar ialah sumber berita disemak secara terperinci sebelum diterbitkan. Wartawan terlibat perlu meluangkan lebih banyak masa untuk menyiasat, mengumpul maklumat dan tidak ada tekanan untuk ‘memecahkan berita’.

Saluran media digital sebaliknya perlu mengejar masa supaya berita disiarkan secepat yang mungkin menyebabkan sering kali berlaku salah fakta dan perlu diperbetulkan.

Perbezaan antara kedua-dua inilah yang mengangkat surat khabar untuk kekal berada di hadapan dalam industri media.

Selain itu, disebabkan ruang yang terhad, mereka yang diberi kolum untuk menulis artikel di dalam surat khabar bukanlah sembarangan, sebaliknya mesti mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu. Berbanding internet, sesiapa sahaja boleh menulis.

Tidak hairanlah, apabila kualiti penulisan di surat khabar jauh lebih berkualiti berbanding digital, serta tahap keyakinan pembaca lebih tinggi disebabkan ketepatan maklumat.

Tidak kira betapa hebat dan cepatnya internet dalam mendapatkan maklumat, tidak akan sama seperti pengalaman dan perasaan memegang surat khabar.

Oleh itu, masih ramai yang membesar pada zaman sebelum internet lebih menghargai kertas fizikal berbanding membaca dalam bentuk digital.

Penduduk luar bandar yang masih lagi mempunyai akses internet yang terhad juga antara sebab surat khabar masih mendapat permintaan. Kurang liputan internet, teknologi dan lokasi terlalu jauh menyebabkan rakyat luar bandar masih sanggup ke kedai runcit untuk membeli surat khabar setiap hari, atau sekurang-kurangnya menumpang membaca secara percuma di warung-warung kopi.

Selain berperanan sebagai sumber pelaporan berita secara harian, surat khabar juga telah melalui transformasi dalam menyuarakan isi hati dan nurani rakyat.

Bayangkan jika surat khabar tidak wujud, mungkin masyarakat umum dan entiti seperti institusi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak mempunyai platform menyuarakan suara mereka.

Siapa lagi yang akan menyediakan forum pertukaran idea secara percuma, terbuka dan tidak terhalang? Siapa lagi yang akan melaporkan tentang pembangunan baharu yang dirancang di tepi jalan, restoran baharu yang dibuka di pusat bandar, atau hospital baharu yang sedang dibina? Siapa lagi yang akan melaporkan kejadian yang menyayat hati, salah guna kuasa dan gejala rasuah tiada kesudahan?

Kewujudan surat khabar menjawab segala persoalan di atas yang menjadi ejen pembaharuan informasi dan komunikasi dalam perubahan masyarakat.

Sinar Harian misalnya, melalui platform seperti Rasuah Busters telah berjaya menarik perhatian orang ramai untuk menentang gejala rasuah.

Program Wacana yang telah mencapai siri ke-400 juga memberi platform kepada pemimpin masyarakat untuk berkongsikan pendapat berkaitan isu semasa.

Ini membuktikan bahawa surat khabar bukan sahaja mampu berperanan dalam melaporkan berita, malah menjadi platform pilihan utama untuk menyatukan masyarakat umum.

Paling penting, surat khabar juga berperanan sebagai semak dan imbang dalam setiap pengenalan dasar-dasar kerajaan. Rakyat dan pemimpin pelbagai latar belakang boleh menyuarakan pendapat mereka dalam sesuatu isu dan perkara yang membabitkan kepentingan awam.

Sejak surat khabar pertama diterbitkan di dunia pada tahun 1605, sehingga kini, industri percetakan surat khabar masih kekal bertahan walaupun telah melalui jangka masa 418 tahun. Walaupun terpaksa bersaing sengit dengan kebanjiran media digital, tidak sama sekali akan pupus ditelan zaman.

Masyarakat yang berilmu dan berdaya asing pasti akan menghargai kewujudan, peranan dan tanggungjawab yang dipikul surat khabar.

Seperti kata-kata yang diungkapkan Perdana Menteri, hanya melalui budaya dan tradisi pembacaan dapat membentuk masyarakat yang mempunyai nilai dan akhlak terpuji.

Selagi manusia ingin membaca, surat khabar akan sentiasa ‘bernyawa’ dalam mempertahankan institusi kenegaraan, masyarakat, bangsa dan dunia.

* Roz Ariffin Rozaid ialah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!