Selangor sangkal dakwaan Khalid

Abdul Khalid
Abdul Khalid
A
A
A

SHAH ALAM - Tuduhan kononya Kerajaan Selangor membayar 10 kali lebih banyak daripada nilai yang sepatutnya kepada pemegang konsesi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) adalah tidak benar sama sekali.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, tuduhan tersebut dinyatakan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di dalam laman Facebooknya, 27 April lalu.

"Pengambilalihan Splash dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad, sebuah agensi Kerajaan Persekutuan dengan jumlah RM1.9 bilion dan Air Selangor dengan jumlah RM650 juta melalui bayaran ansuran tahunan untuk tempoh selama sembilan tahun.

"Pengambilalihan ini tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan dari dana Kerajaan Negeri Selangor dan telah distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menuduh kerajaan negeri tidak cermat, tidak berhemah dan tidak bertanggungjawab dalam mengurus kewangan negeri.

"Ini adalah satu tuduhan yang tidak berasas, sepanjang pentadbiran, beliau melaksanakan 14 program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kemudian, program tersebut diperbaiki dan dipertingkatkan keberkesanannya menjadi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

"Pada tahun terakhir beliau menjadi Menteri Besar, beliau hanya membelanjakan sejumlah RM278 juta untuk MES berbanding pada tahun 2018, di mana kerajaan negeri membelanjakan RM628 juta untuk IPR, lebih dua kali ganda lebih besar untuk manfaat rakyat Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini adalah bukti kerajaan negeri menguruskan kewangan negeri dengan cekap, bertanggungjawab dan berhemah serta sentiasa memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan.

"Saya menyeru agar rakyat Selangor agar memberi sepenuh keyakinan dan kepada kerajaan negeri yang sentiasa berusaha gigih untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd
Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd

"Langkah penstrukturan semula industri air telah berjaya memberi manfaat kepada rakyat, hasilnya ketika gangguan bekalan air baru-baru ini, Air Selangor telah berjaya menyelesaikan isu tersebut lebih awal dari jangkaan, ia hasil dari kedudukan Air Selangor sebagai operator tunggal bekalan air selepas penyelesaian penstrukturan industri bekalan air baru-baru ini.

"Kerajaan negeri akan sentiasa mengutamakan agenda peduli rakyat bagi memastikan kehidupan rakyat Selangor terus makmur dan sentosa," katanya.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui kenyataan Facebook mendakwa tindakan kerajaan negeri tunduk kepada pemegang konsesi Splash dengan membayar RM2.7 billion iaitu 10 kali lebih banyak dari nilai yang sepatutnya dalam urusan penstrukturan semula industri air di negeri ini.

"Jika dahulu rakyat Selangor boleh berbangga berasal dari negeri yang paling kaya dan maju serta dirahmati dengan pelbagai program kebajikan, sekarang rakyat Selangor mungkin antara yang paling malang.

"Selain pemberian air percuma kepada setiap isirumah akan dibatalkan, tarif air pula akan dinaikkan.

"Ini semua merupakan kesan dan akibat langsung dari tindakan kerajaan negeri tunduk kepada pemegang konsesi Splash dengan membayar RM2.7 billion iaitu 10 kali lebih banyak dari nilai yang sepatutnya dalam urusan penstrukturan semula industri air di negeri ini," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mempersoalkan mengenai Skim Mesra Usia Emas yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat pada 2008 akan ditamatkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada Mei hadapan.

"Apatah lagi apabila Tabung Kewangan Anak Selangor (Tawas) dan Hadiah Perkahwinan untuk belia juga telah terlebih awal dibatalkan kerajaan negeri.

"Program-program tersebut adalah antara 14 program kebajikan di bawah Skim Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor yang mempunyai matlamat murni; memulangkan hasil negeri kepada rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!