APG 2023: Skuad bola sepak cerebral palsy raih emas
SKUAD bola sepak cerebral palsy (CP) lelaki berjaya menamatkan kemarau pingat emas dalam tempoh sedekad selepas menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-1 pada hari keenam Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja pada Khamis.
Pemenang ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebaik tamat masa sebenar perlawanan di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh, sekali gus memperbaiki pencapaian dua pingat gangsa yang diraih skuad negara di pentas APG edisi 2013 (Myanmar) dan 2017 (Kuala Lumpur).
Skuad kendalian Asnan Md Zuki kali pertama membuat penampilan dalam saingan APG di Naypyidaw, Myanmar pada 2013.
Keputusan itu malah menyaksikan skuad negara unggul merangkul pingat emas ke-47 negara di Kemboja, disertai 38 perak dan 28 gangsa hari ini.
Bagaimanapun, temasya dwitahunan yang akan melabuhkan tirainya esok masih berbaki satu acara iaitu badminton.
Tumpuan kontinjen negara hari ini pastinya terarah kepada kem badminton yang mengesahkan slot final menerusi tiga acara iaitu Mhd Amin Burhanuddin (perseorangan lelaki SL4-kecacatan fizikal).
Pemain berusia 31 tahun itu akan membuat perhitungan bersama pemain Indonesia Hikmat Ramdani pada aksi final perseorangan SL4, untuk mengubah warna pingat gangsa yang dimenanginya pada edisi lalu di Solo, Indonesia kepada emas.
Selain itu, Muhammad Ikhwan Ramli akan mengambil bahagian dalam acara perseorangan lelaki WH1- berkerusi roda serta beregu lelaki WH1-WH2 bersama Noor Azwan Noorlan.
Muhammad Ikhwan perlu mempamerkan aksi terbaiknya pada aksi final sekiranya beliau mahu mempertahankan kedua-dua kejuaraan yang dimenanginya di Solo. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!