'UMNO bukan mengkarung politik' - Ahmad Zahid

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu bukan 'mengkarung politik' yang boleh berubah pendirian dan menunggang agama seperti parti lain.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Andai ada yang cuba memainkan sentimen, kononnya kerjasama politik yang dilakukan oleh UMNO, akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, suka saya tegaskan, UMNO bukan 'political chameleons' mengkarung politik.

"Kita biasa mendengar ayat-ayat ALLAH dijadikan sandaran untuk mereka mengeluarkan pelbagai fatwa politik mengikut kepentingan (sendiri)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pimpinan utama parti Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mendakwa, parti 'terbabit' juga mencanangkan kononnya merekalah penyelamat Islam dan Melayu.

"Dalam soal Melayu, kita mendengar fatwa politik tentang assabiyah. Kini merekalah kononnya penyelamat Islam dan Melayu.

"Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Semasa mereka berada dalam kerajaan mana perginya agenda Rang Undang-Undang (RUU) 355?," ujarnya.

Mengambil firman Allah SWT dalam ayat 41, Surah al-Baqarah, Ahmad Zahid berkata, peringatan itu cukup menggambarkan golongan yang memperdagangkan ayat ALLAH berselindung untuk kepentingan politik sempit mereka.

"Benarlah, mereka adalah 'mengkarung politik' yang bukan saja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, parti itu seolah-olah menjadi pemegang neraca di 'yaumul mahsyar'.

"Kita juga biasa mendengar, tuduhan kepada UMNO yang kononnya berselindung di sebalik nama Bumiputera. Akan tetapi, tak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, Bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka, di Jana Wibawakan.

"Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil kononnya," katanya.

Menyentuh mengenai isu kalimah ALLAH, Ahmad Zahid menjelaskan, parti berkenaan juga cuba menjadi juara dengan menyeleweng fakta kononnya kerajaan hari ini menggadai kalimah Allah.

"Hakikatnya, pendirian UMNO tidak berubah walau seinci pun. UMNO dan wakil kita di dalam kabinet, walaupun tanpa perlu berkokok seperti ayam jantan dengan tegas menyatakan, kalimah ALLAH tidak boleh diguna pakai oleh agama di Semenanjung ini. Alhamdulillah, penegasan kita ini juga menjadi pendirian Kerajaan Perpaduan.

"Berbanding dengan 'mengkarung politik' yg menunggang agama suatu ketika dahulu, semasa bersama rakan politik sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah ALLAH.

"Apa pun hujah mereka yang jelas dan nyata, mereka akan menukar kulit mengikut suasana. Melayu dan Islam bagi mereka hanya topeng yang digunakan dalam persembahan sandiwara politik mereka," dakwanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh ahli UMNO supaya jangan merasa apologetik dalam menyuarakan hal Islam, Melayu dan Bumiputera kerana pada masa sama mereka tidak pernah meminggirkan hak dan kepentingan kaum-kaum lain.

Malah, katanya, usaha memperkasakan dan menerap nilai Islam tetap menjadi agenda UMNO dalam Kerajaan Perpaduan di samping menghormati kebebasan penganut agama lain.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahmad Zahid ingatkan jangan usik hati orang Melayu

Pemuda UMNO perlu ‘move on’, lupakan kisah silam - DAP

Ahmad Zahid sebak dengar amanat Najib

UMNO terus pertahan Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal - Ahmad Zahid

'Saya hadir semula PAU 2023 untuk perkukuh kerajaan' - Anwar

UMNO gesa selesai segera isu bebanan guru, doktor kontrak

Beri peluang kerajaan terjemah agenda dijanjikan - Ahmad Zahid

‘Lagi baik kalau DAP minta maaf pada UMNO’ - Tok Mat

'Air karat di Kelantan masih gagal dijernihkan'- Ahmad Zahid

'UMNO bukan mengkarung politik' - Ahmad Zahid

Anwar hadiri PAU 2023 selepas 25 tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!