Joe Biden tersasul panggil Rishi Sunak 'Tuan Presiden'

Joe Biden (kiri) dan Rishi Sunak mengadakan sidang media bersama di Rumah Putih pada Khamis. - Foto AFP
Joe Biden (kiri) dan Rishi Sunak mengadakan sidang media bersama di Rumah Putih pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Joe Biden keliru mengenai gelaran Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak apabila kedua-dua pemimpin itu bertemu di Rumah Putih, sehingga memanggilnya sebagai "Tuan Presiden", lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dengan segera membetulkan kesilapannya, sambil bergurau bahawa beliau telah "menaikkan pangkat" Sunak.

Pemimpin berusia 80 tahun itu yang duduk bersebelahan Sunak dalam mesyuarat dua hala, berkata: "Baiklah, Tuan Presiden - Tuan Presiden, saya baru sahaja menaikkan pangkat anda. Tuan Perdana Menteri, saya gembira menerima anda kembali.”

Sunak, yang tertawa, tidak pernah ke Rumah Putih sebelum ini sebagai perdana menteri, hanya memegang jawatan Oktober lalu.

Biden memberitahunya: "Dalam beberapa bulan lalu, kami telah berjumpa antara satu sama lain di San Diego dan kemudian kami bertemu di Belfast dan sekali lagi di Hiroshima.

"Dan sekarang, kami di sini akan menyelesaikan semua masalah dunia dalam 20 minit akan datang."

Ini bukan kali pertama presiden AS kelihatan tergagap-gagap dalam percakapannya.

April lalu, semasa lawatannya ke Republik Ireland, Biden dilihat keliru nama pasukan ragbi All Blacks New Zealand dengan "Black and Tans" - pasukan polis kontroversi era Perang Kemerdekaan di Ireland. - Bernama-dpa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!