Messi tak rela tertekan di Barcelona
PENGENDALI Barcelona, Xavi Hernandez memahami keputusan Lionel Messi untuk tidak kembali ke kelab gergasi Catalan itu musim panas ini.
Messi, 35, mengumumkan dia akan bermain di kelab Amerika Syarikat, Inter Miami selepas menamatkan tempoh dua tahun di Paris Saint-Germain.
"Dia tidak mempunyai masa yang baik dalam dua tahun ini (di Paris) dan kini dia tidak mahu tekanan sama berulang sekiranya menyertai Barcelona.
"Ia adalah keputusan peribadi dan kami perlu menghormatinya. Dia adalah pemain yang terbaik dalam sejarah," katanya.
Xavi berkata, dia menghubungi Messi sejak beberapa bulan lalu tetapi melihat perubahan Messi untuk tidak menyertai kelab itu sejak beberapa hari lalu.
"Mungkin dia tidak melihatnya dengan begitu jelas, dan anda perlu menghormatinya. Sering kali kita tidak meletakkan diri kita dalam kedudukan orang lain, kita kurang empati dan menjadi Leo bukan perkara yang mudah.
"Bayangkan menjadi Leo dengan segala tumpuan yang diberikan kepadanya, dia tidak pernah tenang dan perlu berkelakuan sempurna. Dia harus sempurna di atas padang dan harus menjadi yang terbaik dalam segala hal," katanya.
Messi yang bermain di Barcelona sejak berusia 13 tahun menjadi pemain terbaik dalam sejarah kelab Catalan itu.
Dia terpaksa meninggalkan Barcelona pada 2021 selepas kewangan kelab menghalang mereka memberikannya perjanjian baharu.
Pemenang tujuh kali Ballon d;Or itu memenangi Piala Dunia pada Disember 2022 bersama Argentina, diejek peminat PSG selepas pasukan itu tersingkir dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara untuk tahun kedua berturut-turut.
"Dia mahu menurunkan tahap tekanan, dan jika dia kembali ke sini, ia akan kembali kepada 10 daripada 10 (tekanan)," kata Xavi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!