UMNO gesa selesai segera isu bebanan guru, doktor kontrak
KUALA LUMPUR - UMNO mahu kerajaan memastikan soal kebajikan penjawat awam dan pasukan keselamatan terus terbela termasuk menyelesaikan isu bebanan tugas guru serta perkhidmatan doktor kontrak.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, nasib golongan itu juga perlu dibela khususnya dalam aspek perumahan dan perlindungan hak sebagai pekerja.
Menurutnya, gesaan itu seiringan dengan waktu pasca pandemik ini yang menuntut perkhidmatan kesihatan negara dipertingkatkan.
"UMNO turut menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan semula pembangunan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dimulakan oleh Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak namun dikaji oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian dibatalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Insya-ALLAH kita yakin akan terlaksana di bawah Perdana Menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, UMNO juga mahu agar pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pan Borneo untuk manfaat rakyat Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut jadual supaya kemudahan itumenjadi pemangkin kawasan pertumbuhan baharu yang dapat menjana ekonomi, peluang pekerjaan dan membangunkan perusahaan-perusahaan kecil.
Beliau memberitahu, kerajaan juga disaran memperkenalkan pelan Felda 5.0 bagi menyediakan perancangan untuk generasi kelima dengan tumpuannya melibatkan penyediaan pendidikan berkualiti, peluang keusahawanan, akses kepada teknologi, kemahiran yang bersesuaian dan perancangan perumahan yang selesa buat mereka.
"Kerajaan juga perlu memastikan pengagihan ekonomi dan kekayaan negara boleh dikongsi bersama khususnya buat masyarakat desa.
"Melalui proses urbanisasi, kerajaan mestilah merencana kemasukan industri-industri strategik bagi meransang pertumbuhan ekonomi kampung dan desa.
"Langkah ini juga merupakan ikhtiar kita untuk menoktahkan soal kemiskinan yang masih melingkari kehidupan rakyat di desa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!