Ibu anak tiga mencuri di pasar raya
MELAKA - Seorang ibu anak tiga dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama dua jam sehari untuk tempoh tiga bulan, selepas mengaku bersalah mencuri pakaian dan permainan, di sebuah pasar raya kira-kira dua bulan lalu.
Hukuman itu diputuskan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim selepas tertuduh, Haizum Hassan, 28, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Tertuduh yang berkerja sebagai pembantu jualan di Pasaraya Aeon Ayer Keroh, didakwa sebagai orang yang digaji berniat curang mencuri dua helai baju, sehelai baju T Diadora dan satu kotak alat permainan 'Tableware' bernilai RM176, milik majikannya iaitu Pasaraya Aeon Co (M) Bhd, jam kira-kira 10.30 malam, pada 24 Februari 2019.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, pada jam kira-kira 10.30 malam, hari kejadian, pengadu yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Pasaraya Aeon Ayer Keroh, di sini, membuat pemeriksaan ke atas pekerja-pekerja pasaraya terbabit, sebelum pemeriksaan ke atas badan tertuduh ditemukan sebuah beg (beg jaring) yang di dalamnya mengandungi dua beg kecil.
Pemeriksaan lanjut ke atas beg terbabit menemukan tiga helai baju milik Aeon Ayer Keroh Melaka dan satu kotak mainan yang belum dibuat pembayaran.
Pengadu kemudian membuat laporan polis pada jam 11.16 hari yang sama, di Balai Polis Bukit Baru.
Terdahulu ketika prosiding berjalan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dan memohon untuk tidak dipenjarakan kerana mempunyai tiga anak berusia enam, lima dan dua tahun, selain anak kecilnya masih menyusu badan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Intan Liyana Zainal Abidin mencadangkan kepada mahkamah untuk mengambil kira fakta kes dan barang yang dicuri tertuduh bukan barang keperluan harian.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Muhammad Nazrin memerintahkan tertuduh menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) di Pusat Kehadiran Wajib Jabatan Penjara Malaysia, Melaka Tengah, dua jam setiap hari selama tiga bulan.
Sekiranya gagal hadirkan diri ke Pusat Kehadiran Wajib Melaka Tengah, hukuman penjara dan denda boleh dijatuhkan ke atasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!