Pemuda UMNO perlu ‘move on’, lupakan kisah silam - DAP

Anthony ketika ditemui pemberita sempena PAU 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Jumaat.
Anthony ketika ditemui pemberita sempena PAU 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berpandangan bahawa Pemuda UMNO perlu melupakan kisah silam dan ‘move on’ daripada sebarang persengketaan serta permusuhan politik sebelum ini.

Menurut beliau, sekiranya sikap ungkit-mengungkit berkenaan kisah silam sering dilakukan, perkara tersebut tidak akan menemui jalan kesudahan.

“Permusuhan ini masing-masing ada. Setiap parti ada. Kalau kita terus mengungkit kisah lama, dia tidak akan berkesudahan.

“Kita sudah membentuk kerajaan lebih daripada enam bulan, kita sudah membincangkan secara persetujuan dan komitmen masing-masing. Kita telah pun 'move on' sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas ucapan Dasar Presiden sempena PAU 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Jumaat.

Pada Khamis, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menuntut permohonan maaf daripada DAP dan menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap parti itu.

Muhamad Akmal berkata, tindakan itu berupaya melembutkan hati ahli-ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.

Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, desakan permohonan maaf oleh DAP terhadap UMNO tidak sepatutnya menjadi isu yang dibangkitkan semula.

Beliau menegaskan, perkara itu katanya telah dibincangkan beberapa kali ketika fasa rundingan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Tambah Anthony, sepanjang penubuhan kerajaan yang melibatkan parti DAP dan UMNO, ia dilihat telah berfungsi dengan baik.

Jelasnya, sehingga kini tidak timbul sebarang isu berkenaan ketidakserasian parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan mengorak langkah ke hadapan. Yang penting hari ini, kita tunjukkan kita bekerjasama. Saya rasa, kita sudah nokhtahkan soal permusuhan politik.

“Ia telah dinoktahkan sejak tubuhnya Kerajaan Perpaduan. Yang penting kita kena hadapi pelbagai cabaran di hadapan kita seperti politik iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN), cabaran ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!