[VIDEO] Berkat jaga ibu sakit, Muhammad Shahril raih 11A SPM

Muhammad Shahril menunjukkan keputusan SPM yang diterima daripada guru yang menghantar keputusan itu di rumahnya pada Khamis.
Muhammad Shahril menunjukkan keputusan SPM yang diterima daripada guru yang menghantar keputusan itu di rumahnya pada Khamis.
A
A
A
BACHOK - Pelajar terbaik Sekolah Menengah Ugama (SMU) Darul Iman, Beris Lalang, Muhammad Shahril Saidi, 18, menganggap keputusan itu mungkin rezekinya yang akan mengutamakan ibunya dalam rutin harian.

Anak bongsu daripada enam beradik itu itu memberitahu, dia membantu abang dan kakaknya menjaga ibu mereka Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang terlantar akibat sakit saraf sejak empat tahun lalu.

Menurut Muhammad Shahril, rutin paginya ialah memandikan ibu sebelum pergi ke sekolah dan melakukan tugas sama apabila pulang dari sekolah.

"Tiada apa yang mengubah rutin hidup saya walaupun ketika ibu sedang sakit kerana saya memang suka berada di rumah menemaninya.

"Selain itu, seorang kakak saya, Noor Syahida, 25, yang sentiasa menjaga ibu di rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Jumaat.

Muhamad Shahril yang menjadikan Uwais Al-Qarni sebagai contoh turut berkongsi tip perkara paling utama untuk berjaya ialah memuliakan ibu bapa selain sentiasa berusaha menjadi individu terbaik.

"Bagi saya lebih mementingkan orang lain daripada ibu bapa juga merupakan perkara yang tidak sepatutnya" katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Shahril juga kecewa kerana gambar ibunya tular yang sejak dua hari lalu dikatakan menghidap kanser.

Dia yang kini sedang menyambung pengajian di Tingkatan Enam Rendah di Maahad Yakubiah memberitahu, perkara itu tidak sepatut berlaku kerana boleh menimbulkan fitnah kepada keluarga terutama ibu yang sedang sakit.

"Ibu saya sebenarnya menghadapi masalah saraf tetapi boleh bergerak dan kini dalam proses pemulihan.

"Saya minta tolong dan mohon jasa baik orang ramai supaya tidak menularkan gambar berkenaan kerana ia melibatkan aib dan saya bertangungjawab menjaga keadaan ibu," katanya.

Muhammad Shahril juga mengakui menggunakan media sosial untuk memanfaatkan perkara yang positif selain tidak berkongsi kehidupan melalui medium itu.

"Kita perlu menjaga aib individu lain kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak selesa selain fitnah yang berpanjangan melalui media sosial," katanya.

Sebelum ini tular video memaparkan beberapa guru SABK menghantar keputusan peperiksaan ke rumah Muhammad Shahril selepas dia tidak hadir mengambil keputusan itu.

Muhammad Shahril mendapat A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains, Syariah, Usuluddin, Manahu al-Ulum Al Islamiah dan Al Adab Wal Al-Balaghah manakala A untuk Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Syariah dan Al-Lughah Al Arabiah Al-Muasirah.

Sementara itu, Pengetua sekolah berkenaan, Noor Ruziana Ismail berkata, pada mulanya pihak sekolah datang menziarah selepas mendapat tahu ibu Muhammad Shahril sakit terlantar.

Tambah beliau, kedatangan mereka juga bertujuan menjemput pelajar berkenaan untuk hadir menerima keputusan.

"Bagaimanapun, selepas melihat keadaannya, kami sepakat menghantar keputusan berkenaan ke rumah pelajar itu tetapi tidak menyangka video itu tular," katanya.

Jelasnya, ibu Muhammad Shahril gembira dan tersenyum melihat keputusan peperiksaan yang diserahkan di hadapannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!