Sabah kena mula serius kutip tiga mata dari laman lawan - Kim Swee
PEMAIN Sabah FC digesa untuk lebih serius menghasilkan keputusan positif setiap kali beraksi di luar Likas bagi memastikan The Rhinos tidak keciciran dalam pemburuan kelompok terbaik Liga Super musim ini.
Itu tuntutan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee selepas melihat anak buahnya mencatat kekalahan keempat liga musim ini apabila tewas mengejut kepada PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Khamis.
"Satu keputusan yang mengecewakan, prestasi yang kurang memuaskan, semua pemain harus menyalahkan diri sendiri.
"Kita harus mengambil iktibar dari perlawanan ini kerana pasukan Sabah tidak boleh benarkan kekalahan demi kekalahan terutamanya di tempat lawan khasnya pusingan kedua dalam memastikan pasukan ini berada dalam kelompok terbaik
"Sekiranya para pemain Sabah masih gagal mendapatkan keputusan yang baik terutama dalam perlawanan di laman lawan, saya percaya pasukan Sabah akan ketinggalan selepas ini," katanya.
Terdahulu hasrat anak buah Kim Swee untuk menyingkap kempen pusingan kedua dengan keputusan positif tidak kesampaian apabila dijinakkan PDRM FC, 1-0 di Kelana Jaya.
Jaringan separuh masa pertama minit ke-26, Nabil Ahmad Latpi itu juga membolehkan The Cops kendalian, Azzmi Ab Aziz menebus kekalahan 0-4 pusingan pertama di Stadium Likas pada 25 Februari lalu.
Dalam perlawanan itu, gol The Rhinos dijaringkan Saddil Ramdani (m-13, m-71), Taesu Park (m-37) dan Stuart John Wilkin (m-93).
Kekalahan terbaharu itu menyaksikan Sabah kini menduduki tangga kelima Liga Super dengan mengumpul 24 mata - tujuh menang, tiga seri, empat tewas - selepas mengharungi 14 perlawanan.
Mengulas insiden terbaharu yang melibatkan seorang pemain Sabah yang dibimbangi menjejaskan prestasi pasukan, Kim Swee berkata, 'Kita harus hormat kedua-dua belah pihak. Bagi saya ini melibatkan hal peribadi, apa yang berlaku di luar kawalan kita. Mereka harus mencari jalan menyelesaikan masalah masing-masing.
"Pada masa ini tumpuan saya lebih kepada persembahan, prestasi semasa pasukan Sabah yang agak membimbangkan dan kemungkinan beberapa pertukaran akan berlaku."
Pada masa sama, Kim Swee berharap rehat sementara Liga Super merupakan peluang terbaik untuk para pemain The Rhinos meningkatkan semula prestasi masing-masing.
"Saya harap break sementara Liga Super selepas ini peluang terbaik untuk kita melakukan lebih kerja rumah bagi memastikan pasukan kembali ke landasan seperti sebelum ini," katanya.
Ditanya perlawanan menentang Kelantan United dan Kuching City bakal menjadi titik tolak kebangkitan kelab Kepulauan Borneo tersebut, Kim Swee berkata, "Saya tidak melihat kepada dua perlawanan, sebaliknya menumpukan satu perlawanan ke satu perlawanan.
"Saya tidak perlu menyatakan bahawa kita perlu menang dua perlawanan dengan perlawanan pertama belum lagi kita lalui lagi
"Apa yang paling penting semua pemain perlu kembali lebih segar selepas rehat sementara liga ini bagi memberikan tumpuan penuh kepada perlawanan liga."
Perlawanan seterusnya Sabah akan menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 26 Jun sebelum melayan kunjungan Kuching City di Stadium Likas, 8 Julai.
Sebagai rekod, perlawanan pusingan pertama Sabah menewaskan Kelantan United, 3-1 di Likas pada 1 Mac selain menang 2-0 dalam saingan Piala FA, manakala ketika berdepan Kuching City, The Rhinos menang 2-1 di Kuching pada 6 Mac.
Dalam pada itu, Kim Swee percaya kehadiran bekas pemain import Kelantan FC, Miguel Ángel Garrido Cifuentes atau Cifu akan memberikan nilai tambah kepada jentera serangan The Rhinos.
"Ya, kehadiran Cifu akan membantu sedikit sebanyak menambah kekuatan pasukan Sabah dalam pusingan kedua.
"Namun kita masih tidak boleh mengunakan khidmat Cifu hingga perlawanan ketiga pusingan kedua.
"Ini bermakna dia masih belum boleh beraksi perlawanan menentang Kelantan United, namun selepas itu diharap dia dapat diturunkan sekali gus membantu mengatasi masalah kekurangan pemain berikutan kecederaan yang melanda pasukan Sabah," katanya.
Sebagai rekod, Cifu berasal dari Sepanyol melakukan penampilan pertama bersama The Red Warriors (TRW) sejak Februari lalu dengan perlawanan terakhirnya ketika skuad Frank Bernhardt tewas 1-4 kepada Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 2 Jun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!