Bukan campur tangan politik, kata Mukhriz
JERLUN - Lantikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Pertubuhan Peladang bukan satu bentuk campur tangan politik.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, semua pihak harus melihat perkara itu sebagai usaha kerajaan mentransformasikan Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).
Menurutnya, ini kerana terdapat juga pakar dalam bidang pertanian kalangan ahli politik.
“Contohnya, dalam Mada pun ramai ahli politik sejak dahulu. Kita tidak kisah fahaman politik masing-masing, asalkan kita mempunyai matlamat sama majukan Mada,” katanya pada sidang akhbar, selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) 2019, di PPK Mada F-II Jerlun, di sini hari ini.
Mukhriz yang juga Pengerusi Mada berkata demikian ketika mengulas bantahan 42 PPK menaungi 100,000 petani di negeri ini terhadap pindaan komposisi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) pertubuhan itu yang disifatkan campur tangan politik.
Antara pindaan adalah membenarkan pertambahan jawatan AJP yang boleh dilantik oleh Menteri, pada peringkat PPK, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Campur tangan itu dianggap bertentangan dengan manifesto PH sebelum ini yang tidak mahu melibatkan orang politik dalam GLC.
Dalam ucapannya, Menteri Besar Kedah itu berkata, kerajaan negeri akan mempertahankan status negeri pertanian walaupun terdapat ‘perebutan’ tanah bagi tujuan pembangunan industri, perumahan, kawasan tadahan dan hutan simpan.
“Kita mahu sektor pertanian berkembang seiring perubahan teknologi dan sains. Kita akan pastikan penggunaan teknologi terkini yang dihasilkan agensi kerajaan, universiti atau swasta akan diberi keutamaan kepada Mada,” katanya.
Menurutnya, namun Mada dan peladang hendaklah memastikan penambahbaikan dilakukan berterusan supaya sentiasa memajukan diri dan melaksanakan sesuatu secara lebih berkesan.
“Setelah 51 tahun berfungsi, peranan PPK juga harus diperkayakan sering perubahan zaman, kehendak dan kemahuan pasaran, teknologi serta suasana ekonomi. 27 PPK di kawasan Muda perlu menjadi juara dalam revolusi industri padi ke arah lebih komersil dan berskala besar,” katanya.
Mukhriz berkata, Kedah khususnya kawasan Muda, telah ‘berkorban’ dalam bentuk tanah yang berpotensi dibangunkan pembangunan berimpak tinggi dan beri pulangan lumayan dikekalkan demi keselamatan pengeluaran makanan negara.
“Kita juga berkorban hadkan kawasan pembalakan demi kelestarian kawasan tadahan air untuk bekalan pertanian dan domestik kepada Kedah dan dua negeri jiran.
"Sudah tiba masa, Mada contohi pelaksanaan industri padi berskala besar seperti di Australia, China dan Amerika Syarikat,” katanya.
Menurutnya, industri padi perlu diubah daripada pertanian sara diri kepada pertanian berdaya industri yang mampu beri pulangan lumayan serta menyumbang besar kepada ekonomi.
“Pandangan tanaman padi hanya untuk golongan miskin perlu dikikis agar nafas baharu yang mahu disuntik dapat berkembang dan menjadi tulang belakang kepada cita-cita negara menjadi negara maju,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!