China guna aplikasi mudah alih pantau etnik Uighur

Penduduk Uighur memegang gambar ahli keluarga mereka yang hilang dan dipercayai ditahan di ‘kem pendidikan semula’.
Penduduk Uighur memegang gambar ahli keluarga mereka yang hilang dan dipercayai ditahan di ‘kem pendidikan semula’.
A
A
A

HONG KONG - Pihak berkuasa China didakwa menggunakan aplikasi mudah alih untuk melakukan pengawasan besar-besaran, menyiasat dan menahan orang Islam di Xinjiang, menurut laporan Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) hari ini.

Beijing dikecam negara antarabangsa berhubung dasar yang dilaksanakan di wilayah Xinjiang di mana sejuta penduduk Uighur dan etnik minoriti Islam lain ditahan di ‘kem pendidikan semula’.

Sebelum ini, HRW mendakwa pihak berkuasa Xinjiang menggunakan sistem pengawasan besar-besaran digelar Platform Operasi Bersepadu Bersama (Ijop) untuk mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber seperti kamera pengenalan wajah, pusat pemeriksaan polis, rekod bank dan serbuan ke atas kediaman penduduk Islam.

Tetapi, laporan terbaharu, ‘Algoritma Penindasan China’ hasil kerjasama dengan sebuah syarikat keselamatan berpusat di Berlin untuk menganalisis aplikasi berkaitan Ijop telah mengesan tindakan khusus sistem tersebut.

Pihak berkuasa Xinjiang didapati mengawal 36 kategori tingkah laku termasuk mereka yang tidak bersosial dengan jiran, elak menggunakan pintu depan, tidak menggunakan telefon pintar, sering menderma kepada masjid dan penggunaan elektrik yang tinggi.

Aplikasi itu juga mengarahkan pihak berkuasa untuk menyiasat mereka yang menggunakan nombor telefon baharu atau yang meninggalkan negara itu dan tidak kembali selepas 30 hari.

Sistem Ijop itu turut menjejaki data semua penduduk di Xinjiang dengan memantau data lokasi, kad pengenalan dan kenderaan mereka.

“Kajian kami ke atas salinan aplikasi itu menunjukkan polis Xinjiang menggunakan cara itu untuk menyasarkan golongan Islam. Kerajaan memantau setiap aspek penduduk yang tinggal di Xinjiang,” kata penyelidik kanan HRW di China, Maya Wang.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pihak berkuasa juga digesa untuk memeriksa sama suspek ada menggunakan salah satu daripada 51 alat internet termasuk platform perkhidmatan mesej asing popular seperti WhatsApp, Line dan Telegram.

Beberapa penduduk mendakwa keluarga mereka ditahan hanya kerana mempunyai aplikasi WhatsApp atau jaringan maya berprivasi (VPN) yang dimuat naik dalam telefon bimbit mereka.

Laporan sebelum ini turut mendakwa China melakukan sekatan di wilayah tersebut dengan menempatkan anggota keselamatan di pos pemeriksaan di kawasan didiami penduduk Uighur pada setiap jarak 100 meter. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!