Bilangan penganggur berkurangan pada April 2023 - DOSM

Bilangan penganggur pada April berkurangan 0.3 peratus kepada 586,900 orang berbanding 588,700 orang bulan lepas. Foto hiasan.
Bilangan penganggur pada April berkurangan 0.3 peratus kepada 586,900 orang berbanding 588,700 orang bulan lepas. Foto hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bilangan penganggur berkurangan pada April tahun ini dengan pengurangan 0.3 peratus kepada 586,900 orang berbanding 588,700 orang bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Dalam siaran Statistik Tenaga Buruh Malaysia bagi April 2023 yang dikeluarkan hari ini, DOSM berkata, kadar pengangguran pada April tahun ini pada 3.5 peratus, tidak berubah dari Mac 2023.

Menurut DOSM bilangan tenaga buruh pada April tahun ini mencatatkan kenaikan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.84 juta orang berbanding 16.81 juta orang pada Mac.

"Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.0 peratus (Mac 2023: 69.9 peratus), menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran,” katanya.

DOSM turut melaporkan perbandingan bulan ke bulan menunjukkan jumlah penduduk bekerja kekal pada trend positif pada April 2023 dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.25 juta orang berbanding 16.22 juta orang pada Mac.

Menurut DOSM, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun terus berkurangan bagi enam bulan berturut-turut dengan penurunan bulan ke bulan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 11.1 peratus, merekodkan bilangan penganggur belia seramai 315.6 ribu orang berbanidng 317.3 ribu orang pada Mac.

Jabatan itu berkata, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada April 2023 mencatatkan penurunan sedikit iaitu sebanyak 0.03 peratus kepada 7.23 juta orang berbanding Mac.

DOSM berkata, pasaran buruh dijangka berkembang sederhana pada bulan-bulan akan datang berikutan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang secara sederhana.

"Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan yang positif pada 2023, walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding pada 2022.

"Ini disokong oleh faktor-faktor seperti permintaan domestik yang berterusan, kedudukan pasaran buruh yang lebih baik, trend inflasi yang lebih stabil, dan pemulihan ketibaan pelancong, dengan aktiviti pelancongan yang semakin rancak dijangka akan memberikan kesan positif kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan industri berkaitan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!