Panduan pengambilan kurma pada bulan Ramadan

Jadikan kurma sebagai hidangan wajib ketika bersahur dan berbuka. -GAMBAR HIASAN.
Jadikan kurma sebagai hidangan wajib ketika bersahur dan berbuka. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

ISNIN ini, insya-ALLAH, umat Islam seluruh dunia dijangka akan mula menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Pastinya, ketika ini, ramai yang sudah membuat persiapan untuk menyambut kedatangan penghulu segala bulan itu.

Selain mempersiapkan diri kita untuk meningkatkan amal ibadah pada bulan Ramadan, sudah tentu kurma antara yang tersenarai sebagai hidangan yang wajib ada, bukan?

Rasulullah SAW sendiri berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum baginda menunaikan solat.

Ia sebagaimana hadis: “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum sembahyang. Sekiranya, tiada kurma, maka baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka, baginda meminum beberapa teguk air." (Riwayat Ahmad)

Namun, apa pula pandangan pakar pemakanan tentang khasiat pengambilan kurma dalam bulan Ramadan?

Menurut Pakar Pemakanan di Avisena Specialist Hospital, Siti Nurhayati Ali, kurma sebenarnya menyumbang tenaga serta-merta kepada mereka yang memakannya apatah lagi, selepas 12 jam berpuasa.

Artikel Berkaitan:

SITI NURHAYATI
SITI NURHAYATI

"Ia akan memudahkan seseorang beribadah dan menunaikan solat Maghrib dan tarawih.

"Pengambilan kurma yang terbaik adalah daripada kurma yang segar," katanya kepada Sinar Islam.

Beliau turut memberikan panduan kepada kita tentang pengambilan buah kurma sepanjang bulan Ramadan.

"Bagi orang dewasa yang sihat, boleh mengambil tiga biji kurma semasa berbuka dan bersahur.

"Bagi yang ingin menjaga pengambilan kalori atau bagi pesakit kencing manis yang terkawal kandungan gula dalam darah mereka, hanya satu biji kecil kurma disarankan semasa berbuka dan satu biji lagi sewaktu bersahur," ujar beliau.

Namun, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil kurma secara berlebihan iaitu lebih daripada 10 biji sehari.

Jelasnya, tiga biji kurma sebenarnya dikira sebagai satu hidangan buah-buahan kerana mengandungi 15 gram gula iaitu bersamaan satu pertukaran karbohidrat.

"Mengikut Piramid Makanan Malaysia, keperluan pengambilan buah-buahan adalah dua hidangan setiap hari.

"Namun, masyarakat disarankan mengambil satu hidangan kurma dan satu hidangan buah-buahan yang lain sebagai kepelbagaian sumber vitamin dan mineral," katanya.

Dari segi khasiatnya, Siti Nurhayati berkata, kurma tinggi kandungan nutrisi dan sumber kalium (potassium) yang bagus untuk menyeimbangkan kadar elektrolit tubuh, menormalkan degupan jantung dan tekanan darah.

"Kandungan kalium yang tinggi menyebabkan buah ini bagus jika dimakan oleh pesakit jantung.

"Namun, ia tidak sesuai bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang atau dialisis," katanya.

Siapa yang bagus mengambil buah ini? Jawab Siti Nurhayati, ia bagus diambil oleh ahli sukan untuk mengelakkan kekejangan otot dan mengembalikan tenaga dengan cepat.

"Ibu mengandung disaran mengambil kurma untuk pembentukan darah kerana kaya dengan zat besi. Kurma juga sesuai selepas bersalin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!