SABDA mampu jana pelaburan RM1.9 bilion

Amirudin (duduk kanan) bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Pengenalan Pembangunan SABDA di Nazbell Cottage and Garden, Sungai Besar di sini pada Jumaat.
Amirudin (duduk kanan) bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Pengenalan Pembangunan SABDA di Nazbell Cottage and Garden, Sungai Besar di sini pada Jumaat.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor yakin Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) mampu menjana nilai pelaburan berjumlah kira-kira RM1.9 bilion atau RM248 juta setahun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu secara tidak langsung mencipta sebanyak 3,600 peluang pekerjaan bergaji tinggi.

"SABDA berkemampuan untuk membantu petani, penternak dan nelayan untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan menceburi bidang eksport, menyokong isi rumah berpendapatan rendah supaya menjadi lebih berdaya tahan dari segi kewangan.

"Selain itu ia juga dapat meningkatkan keupayaan pekerjaan tempatan melalui peningkatan kemahiran, membantu perniagaan untuk meningkatkan skala perniagaan melalui automasi, menerapkan teknologi digitalisasi dalam sektor pembuatan dan pemprosesan makanan, serta membuka dan meneroka industri baharu dalam bidang pemakanan mampan serta nutrisi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengenalan Pembangunan SABDA di Nazbell Cottage and Garden, Sungai Besar di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai projek SABDA pada sidang medianya, Amirudin memberitahu terdapat enam program lain dilaksanakan bagi menyokong pembangunan di kawasan seluas 1,317 hektar itu.

"SABDA ini bermula dengan projek Smart Selangor Agro Park, tempat pendaratan ikan di Sungai Lang, kawasan pelancongan di Hay Resort dan Ban Kanal serta beberapa fasiliti lain," ujarnya.

Beliau memberitahu, enam projek itu diharap dapat mempertingkatkan lagi urusan dan kegiatan ekonomi di Sabak Bernam.

Beliau memberitahu, projek pembangunan itu dijalankan secara berfasa dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.

"Apa yang lebih penting, apabila jambatan kedua antara Sabak Bernam di Selangor dan Hutan Melintang di Perak siap nanti, projek pembangunan ini dapat diperkemas dengan lebih terancang pada masa depan.

"Ini sekali gus memberi kemudahan kepada penduduk di Sungai Air Tawar untuk menggunakan jalan raya lebih dekat dan menjimatkan masa lebih 40 minit," ujar beliau.

Amirudin memberitahu, di samping itu, terdapat perancangan lain untuk membangunkan kawasan pantai di Sekinchan.

Kata beliau, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan projek di Sekinchan pada bulan lalu.

"Urusan tanah akan diserahkan kepada MBI (Menteri Besar Pemerbadanan) untuk mengenal pasti rakan kongsi bagi membina (projek) di kawasan sana," jelasnya

CAPTION

Amirudin (duduk kanan) bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Pengenalan Pembangunan SABDA di Nazbell Cottage and Garden, Sungai Besar di sini pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!