Presiden Masca letak jawatan, kecewa berdepan ketidakadilan
Peletakan jawatan Michael itu susulan kekecewaannya terhadap layanan suram terhadap persatuan tersebut terutama menjelang temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 bermula 23 September sehingga 8 Oktober ini.
Mengakui sudah lama bersabar, kemuncak kekecewaan Michael adalah ketika Mesyuarat Pra-Pemilihan Atlet dan Pegawai ke Sukan Asia Hangzhou 2022 di Kuala Lumpur baru-baru ini, apabila skuad perlumbaan bot tradisional kebangsaan seolah-olah dinafikan daripada mengambil bahagian di temasya sukan itu.
Beliau mendakwa skuad kebangsaan menepati kriteria Kategori B untuk beraksi di Hangzhou, namun wakil Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memaklumkan hanya sukan di bawah Kategori A akan dihantar bertanding, serta ia adalah arahan pihak tertentu susulan pencapaian mengecewakan kontinjen negara di Sukan SEA 2023 di Kemboja, baru-baru ini.
"Saya buat begini (letak jawatan) rasanya ramai tahu yang saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku, sejak lima tahun ini tiada apa yang berubah,” katanya pada sidang media di Kelab Tasik Putrajaya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Michael berkata, secara tiba-tiba wujud kategori baharu iaitu B+, B1 dan B2 selepas pertemuan mereka bersama MOM pada mesyuarat pra-pemilihan itu sekali gus beliau difahamkan terdapat sukan yang tidak berada di bawah Kategori A diberikan peluang beraksi di Hangzhou.
Katanya, sejak lima tahun bersama Masca, beliau tidak pernah mengetahui adanya kategori lain selain A dan B.
"Peliknya kenapa pada hari pertemuan hanya dimaklumkan mengenai Kategori A, kemudian baru ada B+, B1 dan B2. Saya tidak berniat untuk ganggu sukan lain tetapi mereka (MOM) suruh kita layak di bawah Kategori A," katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan tindakan MOM yang memberikan masa 10 hari sehingga 20 Jun ini kepada skuad perlumbaan bot tradisional kebangsaan untuk menyertai mana-mana kejohanan bagi mencipta catatan masa yang lebih baik untuk ke Sukan Asia 2022 sebagai tidak masuk akal.
Kategori A adalah sukan individu dan berpasukan berada di kedudukan empat teratas dalam ranking Asia sementara Kategori B adalah sukan individu dan berpasukan berada di kedudukan lapan teratas dalam ranking Asia.
Sebagai rekod, Malaysia menamatkan badi 30 tahun tanpa pingat dalam perlumbaan bot tradisional di Sukan SEA selepas memenangi pingat perak acara 250 meter (m) 12 kru terbuka lelaki pada temasya sukan edisi ke-32 yang berlangsung di Kemboja bulan lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!