Pusat asuhan kanak-kanak tidak berdaftar membimbangkan - KPWKM

Nancy Shukri. - Foto Bernama
Nancy Shukri. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah institusi pengasuhan kanak-kanak termasuk orang perseorangan yang tidak berdaftar di seluruh negara amat membimbangkan.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sehingga Disember tahun lalu, terdapat 1,080 institusi yang tidak berdaftar.

"Saya percaya jumlah tersebut adalah lebih besar," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, perkara tersebut membimbangkan kerana ia melibatkan aspek keselamatan kanak-kanak di premis tersebut.

"Apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku, agak sukar tindakan diambil terhadap mereka," ujar Nancy.

Beliau berkata, sebanyak 3,005 pusat pengasuhan yang berdaftar dengan pihak kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh yang sama.

"Kita sedang mencari jalan dengan merancang untuk mempercepatkan proses pendaftaran pusat pengasuhan yang akan diluluskan dalam tempoh 30 hari sekiranya telah menepati syarat-syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Menurutnya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak di bawah empat tahun, KPKWM sentiasa menambah baik sistem operasi supaya tiada kekangan di lapangan.

"Dalam hal ini, saya berharap hubungan dan kolaborasi strategik antara kementerian dan Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM) berjalan dengan baik," katanya.

Beliau berkata, rungutan daripada pengusaha yang mahu beroperasi secara sah dan berdaftar tetapi menghadapi karenah birokrasi membabitkan isu teknikal di pihak PBT sering diterima olehnya.

"Kita tahu ini adalah kuasa PBT. Tetapi saya rasa ini boleh ditambah baik sekiranya semua PBT mempunyai budi bicara dan peraturan yang selaras.

"Jadi, saya akan bawa dan bincang isu ini dengan rakan saya YB Menteri KPKT Nga Kor Ming bagi memudah carakan atau pengusaha untuk beroperasi secara sah tanpa berkompromi dengan soal keselamatan," katanya.

Dalam pada itu Nancy berkata, kementerian sedang merancang untuk mewujudkan pangkalan data pusat pengasuhan sebagai rujukan ibu bapa sebelum membuat keputusan menghantar anak mereka ke sesebuah premis.

"Selama ini kita tidak ada pangkalan data dan jika ibu bapa mahu hantar anak, cuma berdasarkan saranan dari mulut ke mulut," katanya.

Menyedari perancangan tersebut merupakan satu cabaran besar dihadapi terutamanya penyelidikan yang memakan tempoh panjang, Nancy berharap ia dapat direalisasikan.

"Prosesnya juga memakan masa yang panjang dan memerlukan peruntukan kewangan.

Ini menjadi aspirasi saya, kalau saya tidak ada lagi di sini sekurang-kurangnya ada legasi yang ditinggalkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!