Pemansuhan subsidi beri kesan pada harga ayam, telur
ALOR SETAR - Harga ayam dan telur mungkin naik secara berperingkat apabila tiada lagi subsidi barangan keperluan itu daripada kerajaan, sebaliknya harganya diapungkan bermula pada 1 Julai ini.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, harga ayam dan telur akan terkesan apabila pemberian subsidi bahan mentah tersebut tidak diteruskan.
Mohamad Yusrizal berpandangan, harga bahan mentah terbabit dijangka naik antara lima hingga 10 peratus berikutan keputusan itu.
"Pada peringkat awal, kenaikan harga dua barangan keperluan ini dalam pasaran berkemungkinan dapat dikawal.
"Bagaimanapun, ia dijangka akan naik sedikit demi sedikit memandangkan harga ayam dan telur itu diapungkan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Kata Mohamad Yusrizal lagi, kenaikan harga ayam selepas pengapungan harga dipercayai pernah berlaku pada tahun 2008.
"Ketika itu, harga ayam diapungkan hingga mencecah RM10 sekilogram dan sekiranya ia berulang, harga ayam selepas ini mungkin mencecah hingga RM30 seekor," katanya.
Menurut beliau, ia memandangkan tindakan kerajaan tidak meneruskan pemberian subsidi akan menyebabkan penternak menanggung peningkatan kos penternakan, yang akhirnya memberi kesan kepada harga bahan mentah itu.
Tambah Mohamad Yusrizal, kerajaan ketika ini dilihat turut mengimport bahan mentah itu bagi memastikan bekalan sumber makanan ini mencukupi yang turut mempengaruhi harga barangan.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu bersedia dengan memastikan bekalan bahan mentah sentiasa ada dalam pasaran untuk menampung keperluan pengguna.
"Antara inisiatif dicadangkan, pembangunan sumber makanan dengan memperhebat dan memperbanyak bilangan penternak tempatan bagi menjamin keterjaminan makanan.
"Kita tidak perlu lagi mengimport bahan mentah itu dari luar negara apabila penternak tempatan ramai, malah bekalan bahan mentah itu akan banyak dan harga menjadi lebih murah," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan tiada lagi subsidi ayam dan telur daripada kerajaan, sebaliknya ia akan diapungkan bermula 1 Julai depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup boleh menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun, berbanding harga siling runcit ketika ini.
Gerakan kecam penarikan semula subsidi ayam, telur
Sementara itu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengecam kerajaan kerana menarik semula subsidi ayam dan telur bermula 1 Julai ini.
Naib Presiden Gerakan, Datuk Baljit Singh berkata, tindakan itu seolah-olah tidak memikirkan kesusahan rakyat sebaliknya menambahkan lagi beban yang dihadapi mereka.
“Sebelum ini, kerajaan sudah menarik subsidi tarif elektrik, membuat semakan semula tarif air, caj RM1 hospital kerajaan dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman juga berlaku.
"Kini kerajaan mahu menarik subsidi ayam dan telur pula, semua benda nak dinaikkan. Walhal sekarang harga telur sudah mahal, kini subsidi ditarik pula.
"Sudah pasti harga semakin meningkat. Kerajaan hanya menutup sebelah mata mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Rabu, Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Mohamad Sabu dilaporkan mengesahkan bahawa harga telur dan ayam akan ditentukan oleh pasaran mulai 1 Julai ini.
Mohamad ketika menjawab pertanyaan di Parlimen seperti dilaporkan media berkata, subsidi kerajaan untuk telur dan ayam tamat selepas 30 Jun ini.
Baljit menambah, penamatan subsidi bahan makanan itu juga akan menyebabkan golongan B40 resah gelisah kerana telur menjadi antara pilihan utama mereka.
“Penarikan subsidi ayam dan telur ini sudah semestinya memberi kesan mendalam kepada rakyat terutamanya golongan B40 kerana itu adalah antara makanan pilihan.
“Apakah inisiatif kerajaan selepas menarik semula subsidi ini, duduk dan lihat rakyat menderita sahaja," soal Baljit
Sehubungan itu, Baljit menggesa kerajaan agar tidak mementingkan ekonomi sahaja sebaliknya perlu menyelesaikan masalah kebajikan rakyat dengan mempertimbangkan semula penarikan subsidi ayam dan telur.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tindakan mansuh subsidi ayam, telur jejas B40 - Srikandi Bersatu
'Malaysia tersilap beri subsidi'
[VIDEO] Pengurangan subsidi T20 supaya tidak bebankan orang miskin - PM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!