Lelaki diburu pecah masuk stesen minyak
LUMUT - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki memecah masuk sebuah stesen minyak di Seri Manjung di sini pada pagi Khamis.
Video kejadian itu tular di media sosial memaparkan tindakan suspek yang memakai topi keledar dengan mudah memecah masuk premis menerusi pintu hadapan sebelum melarikan duit.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada pengurus premis yang berusia 30-an.
"Dia menyedari sekitar jam 8.30 pagi apabila pintu utama kedai berkenaan telah rosak.
"Hasil pemeriksaan mendapati, wang tunai berjumlah RM2,500 serta sekotak rokok telah hilang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk premis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Irsyadiman Allmui di talian 011-17836233 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!