Pembaziran vaksin bukan salah kerajaan - MMA

Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, semua negara tergesa-gesa untuk mendapatkan vaksin yang mencukupi tanpa berfikir panjang kerana bimbang terputus bekalan. (Gambar hiasan), gambar kecil: Dr Muruga Raj
Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, semua negara tergesa-gesa untuk mendapatkan vaksin yang mencukupi tanpa berfikir panjang kerana bimbang terputus bekalan. (Gambar hiasan), gambar kecil: Dr Muruga Raj
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyifatkan tidak adil untuk menyalahkan kerajaan atas sisa vaksin kerana permintaan untuk vaksin menurun selepas pelancaran pertama dos penggalak.

Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, semua negara tergesa-gesa untuk mendapatkan vaksin yang mencukupi tanpa berfikir panjang kerana bimbang terputus bekalan.

“Jadi, saya rasa betul tindakan kerajaan ketika itu yang beranggapan semua rakyat di negara ini akan menerima suntikan vaksin.

"Pada awal 2021, kerajaan menyasarkan 90 hingga 100 peratus vaksinasi dan penggalak. Tetapi permintaan terhadap vaksin menurun ketika program untuk suntikan dos penggalak dilancarkan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Muruga, selepas pelancaran dos penggalak pertama, masih banyak bekalan vaksin yang tidak diambil oleh orang ramai walaupun ia disyorkan Kementerian Kesihatan dan pakar perubatan susulan penurunan jangkitan Covid-19.

“Secara keseluruhan, kami percaya kerajaan sudah sedaya upaya ketika itu berunding untuk mendapatkan yang terbaik walaupun tiada kuasa tawar-menawar disebabkan permintaan tinggi global.

Menurut beliau, Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah memainkan peranannya dalam mengenal pasti klausa dalam perolehan vaksin Malaysia perjanjian dengan Pfizer yang didapati tidak memihak kepada kerajaan dan had pindaan dicadangkan.

“Ia juga merupakan langkah yang baik bahawa kerajaan tidak bergantung sepenuhnya kepada satu pembekal vaksin dengan mendapatkan vaksin jenis Astrazeneca dan Sinovac juga,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!