PAU 2023: Tajuddin tetap hadir walaupun digantung keahlian

Tajuddin bercakap kepada pemberita pada sidang akhbarnya hari ini.
Tajuddin bercakap kepada pemberita pada sidang akhbarnya hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun digantung keahlian, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilihat tetap menghadiri Persidangan Agung UMNO (PAU) 2023 pada Jumaat.

Beliau yang hadir memakai baju korporat UMNO itu mengakui masih setia terhadap parti tersebut dan berharap supaya rayuan untuk menarik semula penggantungan keahliannya dapat diluluskan.

Menurutnya, meskipun telah ditolak sebanyak dua kali sebelum ini, beliau masih berharap supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat mempertimbangkan perkara tersebut untuk kali ketiga.

“Status permohonan saya (ketika ini) tiada berita. Saya sudah buat rayuan tiga kali sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

“Saya setia kepada UMNO. UMNO banyak berjasa dengan saya. Walaupun saya seorang dalam UMNO ini, saya tidak akan tinggalkan UMNO,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbarnya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Jumaat.

Tajuddin dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail sebelum ini dilapor digantung keahlian parti selama enam tahun atau dua penggal.

Keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan pada 30 September tahun lalu.

Dalam masa sama, ditanya mengenai tujuannya hadir ke PAU 2023, Tajuddin berkata, antaranya adalah bagi mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Jelasnya, ini kerana Muhammad Akmal tampil berani menuntut permohonan maaf daripada DAP dan meminta untuk parti itu menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO sebelum ini.

Menurutnya, sekiranya keberanian yang dilakukan Muhammad Akmal itu diteruskan, ia memberi harapan dan mampu untuk membangkitkan semula UMNO.

“Salah satu sebab saya datang hari ini sebab nak ucap tahniah kepada Akmal. Ini (Muhammad Akmal) beri harapan kepada kita. Kalau ini betul, dia waris yang boleh membangkitkan semula UMNO,” ujarnya.

Pada Khamis, Muhammad Akmal memaklumkan, permohonan maaf yang digesa tersebut berupaya melembutkan hati ahli-ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, desakan permohonan maaf oleh DAP terhadap UMNO tidak sepatutnya menjadi isu yang dibangkitkan semula.

Tajuddin turut beranggapan bahawa DAP sepatutnya membuat permohonan maaf memandangkan pimpinan parti tersebut sebelum itu telah mengkritik UMNO.

“Kalau mereka jujur nak bersama dengan orang Melayu, kena bantulah orang Melayu. Jangan cakap mulut sahaja. Adakan tindakan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahmad Zahid ingatkan jangan usik hati orang Melayu

Pemuda UMNO perlu ‘move on’, lupakan kisah silam - DAP

Ahmad Zahid sebak dengar amanat Najib

UMNO terus pertahan Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal - Ahmad Zahid

'Saya hadir semula PAU 2023 untuk perkukuh kerajaan' - Anwar

UMNO gesa selesai segera isu bebanan guru, doktor kontrak

Beri peluang kerajaan terjemah agenda dijanjikan - Ahmad Zahid

‘Lagi baik kalau DAP minta maaf pada UMNO’ - Tok Mat

'Air karat di Kelantan masih gagal dijernihkan'- Ahmad Zahid

'UMNO bukan mengkarung politik' - Ahmad Zahid

Anwar hadiri PAU 2023 selepas 25 tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!