UMNO lulus pindaan perlembagaan permudah daftar keahlian baharu

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung hal-hal keahlian dan prosedurnya bagi memudahkan lagi permohonan keahlian baharu.

Pindaan itu melibatkan tiga Fasal Utama iaitu Fasal 5, Fasal 10 dan Fasal 18 yang menyentuh soal pendaftaran keahlian dan tanggungjawab Majlis Tertinggi (MT).

Kelulusan sebulat suara pindaan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika membentangkan pindaan itu berkata, semua perkara berkaitan keahlian parti akan dipindah ke dalam satu peraturan baharu yang akan dikeluarkan oleh MT.

"Pindaan ini dicadangkan untuk menambah baik, memperkemas dan memudahkan proses permohonan keahlian. Ini kerana peraturan berkaitan keahlian UMNO seperti juga peraturan parti lain akan lebih mudah untuk dikemas kini atau dipinda apabila wujud keperluan,” katanya.

Beliau berkata, apabila peraturan itu berada di bawah kuasa MT, sebarang pindaan dan kemas kini keahlian tidak memerlukan pindaan Perlembagaan UMNO.

Perhimpunan Agung UMNO 2023 membabitkan 2,891 perwakilan dari 189 bahagian serta sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!