Fahmi Fadzil dilantik sebagai penaung KL City FC
JUARA Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat secara rasmi mengumumkan pelantikan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai penaung baharu kelab itu.
Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di laman Instagram rasmi KL City.
"Kami mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikan ini dan tidak sabar menanti impak positif yang bakal dibawa kepada kelab ini. Sebagai peminat tegar pasukan ini dan Ahli Parlimen di KL, kami yakin beliau akan membawa pandangan serta kepakaran yang berharga kepada organisasi kami.
"Kami teruja untuk menjalin kerjasama dengan penaung baharu dan pada masa yang sama, terus berusaha ke arah kecemerlangan semasa beraksi serta ketika berada di luar padang,” menurut hantaran itu.
Pada Rabu lepas, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai bersetuju menjadi Penaung KL City selepas menerima tawaran Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur Khalid Abdul Samad.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilantik sebagai Penaung KL City pada Ogos 2022 selepas bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa meletak jawatan.
KL City ketika ini berada di posisi keenam dalam saingan Liga Super 2023 dengan mengumpul 23 mata selepas mengharungi 14 perlawanan. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!