Sinar Harian tempat kedua Anugerah Dokumentari Video Terbaik MPI

Pasukan Premium Sinar Harian mendapat tempat kedua Kategori Dokumentari Video Terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 (HKM2021) pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Pasukan Premium Sinar Harian mendapat tempat kedua Kategori Dokumentari Video Terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 (HKM2021) pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sinar Harian memenangi tempat kedua bagi Anugerah Kategori Dokumentari Video Terbaik sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2022 (HKM MPI Petronas 2022) malam ini.

Laporan bertajuk 'Sungai Rambai Sungai Paling Tercemar Di Malaysia' disediakan oleh Pasukan Premium Sinar Harian terdiri daripada Nurul Riduan Nor Ashaha, Liza Mokhtar, Nurul Nabila Ahmad Halimy, Muhammad Ikhwan Muhammad Azahari, Afnan Imadi Zainal Ayub, Rosli Talib dan Muhammad Hafiz Adnan.

Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Malam Wartawan Malaysia 2023.

Kemenangan itu sekaligus membolehkan mereka membawa pulang wang hadiah sebanyak RM1,500 beserta sijil.

Laporan yang diterbitkan pada 15 September tahun lalu itu mendedahkan tinjauan Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan yang mana menjadi satu-satunya sungai di Malaysia, menghuni tangga teratas sungai tercemar bagi Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan untuk tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 juga meletakkan sembilan lagi sungai tercemar berada pada Kelas Empat antaranya lima di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Selangor/Kuala Lumpur.

Tempat pertama bagi kategori itu dimenangi oleh TV3 untuk siri laporan tragedi peristiwa tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digita, Teo Nie Ching.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!