Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia platform terbaik tingkat kesedaran
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan 7 Jun sebagai Hari Keselamatan Makanan Sedunia.
Ia merupakan acara tahunan yang diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan makanan yang boleh memberi kesan langsung terhadap kesihatan pengguna.
Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) ialah badan berkuasa yang bertanggungjawab ke atas portfolio berkenaan.
Pada tahun ini, BKKM menyemarakkan sambutan penting itu dengan tema Food Standards Save Lives.
Objektif utamanya adalah bertujuan untuk menerapkan kepentingan standard makanan bagi memastikan rakyat mendapat makanan yang selamat dan berkualiti. Selain itu, turut membantu mempermudahkan lagi perdagangan makanan.
Untuk pengetahuan umum, tanggungjawab memastikan keselamatan makanan melibatkan rantaian kerjasama semua pihak bermula dari ladang hingga ke meja makan.
Pihak pengeluar yang terlibat dalam penyediaan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran perlu melaksanakan amalan keselamatan yang baik serta betul berdasarkan kepada keperluan standard yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Pengusaha pula perlu memastikan label makanan mengisytiharkan maklumat yang benar dan tepat dari segi kandungan bagi membantu dan memberi keyakinan kepada pengguna terhadap seleksi produk masing-masing.
Secara tidak langsung, pematuhan pihak pengeluar kepada standard makanan yang ditetapkan memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa makanan yang dihasilkan adalah selamat dan berkualiti.
Pun demikian, para pengguna juga perlu memainkan peranan. Sentiasa bijak memilih dengan mempraktikkan budaya membaca label terlebih dulu.
Tidak hanya itu, amalan pengendalian makanan yang baik juga perlu dititik beratkan.
Kajian Semula Standard Makanan
Mengulas lanjut tentang standard makanan, ia diwujudkan adalah bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan yang dihasilkan, selain menetapkan keperluan minimum yang perlu dipatuhi.
Antaranya adalah berkaitan prosedur kebersihan pengendali makanan yang baik dan kebersihan premis makanan.
Berikut ciri-ciri lain dalam standard makanan yang perlu dipatuhi:
- Menetapkan spesifikasi produk dan bahan tambahan makanan seperti aditif serta nutrien makanan termasuk tahap pencemaran sisa racun perosak.
- Residu (sisa atau baki) veterinar yang dibenarkan dalam makanan tertentu.
- Keperluan bahan untuk membungkus dan pelabelan makanan.
Bermula tahun 2020, selaras dengan Dasar Negara bagi Pembangunan dan Pelaksanaan Peraturan telah menggariskan agar peraturan dibuat kajian setiap lima tahun.
Sehubungan itu, BKKM telah melaksanakan kajian semula standard makanan secara holistik dan sistematik agar semuanya kekal relevan serta efektif selaras dengan perkembangan terkini sains dan teknologi semasa.
Untuk memenuhi hasrat tersebut, kerjasama semua pihak berkepentingan sekali lagi amat dialu-alukan.
Berdasarkan rekod, sehingga kini sebanyak 117 peraturan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah dikaji semula.
Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang telah diwartakan boleh dimuat naik menerusi laman sesawang http://fsq.moh.gov.my/v6/xs/page.php?id=72.
Terus komited
Tema Hari Keselamatan Makanan Sedunia pada tahun ini juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun Codex Alimentarius (Codex) yang ke-60.
Codex merupakan program standard makanan antarabangsa yang ditubuhkan bersama oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Standard makanan yang disediakan oleh Codex bertujuan untuk melindungi kesihatan pengguna dan memudahkan cara perdagangan makanan di seluruh dunia.
Tambahan lagi, sejak berkuat kuasanya perjanjian SPS Measures, standard Codex telah menjadi rujukan utama standard makanan antarabangsa di bawah WTO.
Semenjak menjadi Codex Contact Point Malaysia pada 20 Mac 1996, BKKM sentiasa memainkan peranan aktif dalam aktiviti Codex. Antaranya menyediakan pendirian Malaysia semasa pembentukan standard makanan untuk memastikan kepentingan negara dipertahankan.
Malaysia juga telah diberi kepercayaan sejak tahun 2009 sehingga kini untuk menjadi tuan rumah dan telah dilantik sebagai Pengerusi dan Sekretariat Mesyuarat Antarabangsa Codex Committee on Fats and Oils.
Secara keseluruhannya, tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan makanan kini semakin meningkat.
Rentetan itu, kawalan sekuriti pihak berkuasa juga menjadi semakin mencabar lebih-lebih lagi apabila berlakunya perubahan iklim, patogen bawaan makanan yang baharu muncul termasuk peningkatan terhadap penipuan serta keaslian makanan.
Sumber tenaga manusia itu dan kaedah pengeluaran yang lebih terkini turut memberi impak.
Tidak dinafikan, capaian maklumat hanya di hujung jari, namun informasi yang dikongsi juga mungkin palsu.
Justeru, sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia merupakan salah satu platform bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan makanan.
Maka, kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, bukan kerajaan, institusi awam dan swasta, industri makanan serta pengguna amat diperlukan untuk tujuan itu. BKKM juga akan terus komited berbuat demikian demi rakyat Malaysia.
Jom kita sama-sama menyampaikan mesej kepentingan standard makanan yang selamat dan berkualiti bersempena dengan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2023 dengan tema Food Standard, Save Lives dan juga meraikan sambutan ulangtahun Codex Alimentarius yang ke-60.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!