Oxford City Stars sambar khidmat Cech

Cech
Cech
A
A
A

BEKAS penjaga gol Chelsea, Petr Cech menandatangani kontrak dengan Oxford City Stars untuk kempen 2023/24, kata pasukan hoki ais tahap tiga tersebut.

Cech berusia 41 tahun sebelum ini bermain untuk pasukan Guildford Phoenix dan Chelmsford Chieftains.

Oxford City Stars ialah sebuah pasukan hoki ais berpangkalan di Oxford, England, kini bermain Divisyen Selatan NIHL 1.

"Sudah jelas Oxford mempunyai cita-cita besar dan saya harap dapat membantu pasukan ini merealisasikan impian tersebut.

“Secara peribadi saya tidak sabar menyahut cabaran baharu setelah bersama-sama membina pengalaman dengan Chelmsford Chieftains musim lalu.

“Sejujurnya saya amat teruja untuk membantu pasukan mencapai tahap baharu pada musim akan datang ini,” kata Cech, yang bermain sukan itu semasa zaman muda sebelum beralih kepada bola sepak.

Cech menyertai Chelsea dari kelab Ligue 1 Perancis, Rennes setelah menarik perhatian Claudio Ranieri pada 2004, memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris, empat Piala FA, Liga Juara-Juara, Liga Europa dan tiga trofi Piala Liga bersama Blues.

Cech menyertai Arsenal pada 2015 dan membuat 129 penampilan bersama Gunners selepas mencipta impak di Chelsea.

Dia mengalami kecederaan kepala serius pada 2006 selepas berlaga dengan pemain Reading, Stephen Hunt.

Pelanggaran kepala dengan lutut Hunt, menyaksikan tengkorak Cech retak tetapi dia kembali beraksi empat bulan kemudian sambil mengenakan pelindung kepala yang menjadi simbolnya ketika ini.

Cech muncul penjaga gol pertama mengharungi 200 perlawanan tanpa bolos dalam kempen Liga Perdana Inggeris susulan kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Watford.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!