MED sasar RM50b sumbangan koperasi dalam KDNK tahun ini
KOTA KINABALU - Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyasarkan RM50 bilion sumbangan pendapatan koperasi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ketika ini koperasi hanya menyumbang RM42 bilion dalam KDNK, namun, beliau yakin ia mampu ditingkatkan dengan memastikan koperasi mempergiat lagi aktiviti ekonominya.
Beliau berkata, gerakan koperasi, yang mempunyai kira-kira 9.5 juta ahli di seluruh negara, juga perlu dikembangkan sehingga mampu mewujudkan komuniti koperasi sebagai pembekal dan pengeluar produk bagi menjana pendapatan.
“Koperasi mempunyai aset sebanyak RM140 bilion. Ini satu aset begitu besar. Oleh itu, koperasi yang boleh disebutkan sebagai ‘gergasi tidur’ ini perlu dibangunkan dan digerakkan lebih cergas supaya mereka mampu menjana perolehan lebih.
“Saya yakin dengan adanya kekuatan koperasi selain rangsangan, ruang, latihan dan pengetahuan diberikan kementerian, koperasi boleh memberi sumbangan pendapatan lebih kepada KDNK negara,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucap tama pada Program Profesional Training & Education For Growing Entrepreneurs (Protege) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin dan Ketua Sekretariat Protege, Norashikin Ismail.
Sementara itu, Mohd Redzuan dalam ucapannya menyarankan komuniti koperasi UMS untuk mengembangkan lagi aktiviti ekonomi mereka dengan memanfaatkan tanah dimiliki universiti tersebut termasuk mewujudkan pelancongan pendidikan.
Langkah itu juga membolehkan komuniti koperasi UMS menggunakan kepakaran, kreativiti dan inovasi dimiliki mahasiswa universiti tersebut dengan sebaiknya untuk menjana pendapatan, katanya.
Terdahulu, Mohd Redzuan merasmikan “Coop UMS Concept Store”, kedai milik koperasi UMS Berhad dan menyerahkan replika cek pinjaman tabung modal pusingan yang telah diluluskan sebanyak RM500,000 serta bantuan pembangunan RM10,000 kepada koperasi berkenaan.
Koperasi UMS mempunyai tiga cawangan kedai menjalankan perniagaan runcit, kedai buku dan alat tulis iaitu Kampus Utama di Sepanggar, Kampus Antarabangsa Labuan dan Fakulti Pertanian Lestari Sandakan, selain koperasi itu turut menjalankan aktiviti pembiayaan kredit kepada anggota.
Koperasi UMS berada di kedudukan ke-21 dalam senarai 100 koperasi terbaik di Sabah pada tahun lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!