Diserang Covid-19 kali ketiga, Liza Hanim reda suara terkesan

Liza Hanim
Liza Hanim
A
A
A

PENYANYI Liza Hanim mendakwa perlu membuat latihan dan senaman untuk menjaga pernafasan dan stamina yang terkesan akibat jangkitan Covid-19.

Memetik laporan Gempak, Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 44, virus Covid-19 yang sudah menyerang dirinya sebanyak tiga kali secara tidak langsung telah memberi kesan berbeza kepada kualiti suaranya.

“Saya akui kali ketiga terkena Covid-19 pada Syawal lalu memang agak teruk.

"Dua hari saya terlantar di rumah namun masih bersyukur kerana tidak sampai tahap perlu mendapat rawatan di hospital.

“Perbezaan pada suara pula saya boleh kata kesan itu lebih kepada pernafasan dan stamina saya. Saya cepat penat.

Menurutnya, untuk mengatasinya dia perlu melakukan senaman yang berpadan dengan usianya.

“Saya masih boleh menyanyi cuma tak dinafikan struggle tu ada dan beza itu ada.

"Tapi itu tidak menjadi masalah kerana tiada apa atau sesiapa untuk saya buktikan sekarang.

“Saya akan menyanyi mengikut kemampuan serta sesuai dengan usia saya kini,” katanya.

Pelantun lagu Siapa Sangka Siapa Menduga itu ditemui selepas Sidang Media Konsert P. Ramlee - Signature A Mninor 7 yang menampilkan dirinya serta Sean Ghazi sebagai penyanyi utama.

Apabila ditanya tidakkah Liza bimbang akan perubahan suara atau penyampaian nyanyiannya kini, ibu kepada lima orang cahaya mata itu reda dan berserah kepada Maha Esa.

“Nak kata risau tu...apa saya boleh kata saya terima. Kerana pertama tahun ini pun usia saya bakal cecah 44 tahun dan apa-apa pun usia saya akan meningkat. Jadi perubah itu tetap akan berlaku.

“Saya tak boleh risau dengan perkara yang normal. Kulit pun makin lama akan berkedut tapi saya tetap bersyukur kerana masih lagi boleh menyanyi.

“Kalau dah tiba masa saya tak boleh menyanyi saya kena terimalah. Selagi dapat keizinannya saya teruskan sahaja,” ujarnya.

Mengulas mengenai Konsert P. Ramlee - Signature A Minor 7, Liza memberitahu dia sangat teruja apabila diberi peluang untuk menjadi sebahagian projek itu.

“Nama P. Ramlee sangat dekat dengan diri saya memang dari kecil lagu-lagunya menjadi kesukaan saya serta paling penting saya banyak belajar menyanyi dari lagu-lagu serta karyanya.

“Jadi apabila diberi pelaung ini saya sangat terharu dan teruja untuk melakukannya sebagai salah satu juga penghargaan saya buat seniman agung ini,” kongsinya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!