West Ham, Fiorentina berdepan hukuman UEFA

Biraghi menjadi mangsa balingan objek semasa perlawanan akhir Liga Konferensi, West Ham menentang Fiorentina di Eden Arena, Khamis lalu. - Foto Agensi
Biraghi menjadi mangsa balingan objek semasa perlawanan akhir Liga Konferensi, West Ham menentang Fiorentina di Eden Arena, Khamis lalu. - Foto Agensi
A
A
A

WEST Ham United dan Fiorentina berdepan hukuman Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berikutan kekecohan dicetuskan penyokong masing-masing semasa perlawanan akhir Liga Konferensi di Prague, Republik Czech pada Khamis lalu, kata badan induk bola sepak Eropah tersebut.

Dalam perlawanan di Eden Arena itu, pengadil terpaksa memberhentikan aksi pada pertengahan separuh masa pertama selepas penyokong West Ham membaling objek ke arah pemain Fiorentina, Cristiano Biraghi, yang mengakibatkan kepala pemain pertahanan tersebut berdarah.

Kedua-dua kelab Serie A Itali dan Liga Perdana Inggeris tersebut akan berdepan pertuduhan kerana membaling objek.

Di samping itu, Fiorentina bakal dikenakan hukuman apabila para penyokong menyalakan suar, manakala West Ham akan dikenakan denda berikutan pencerobohan padang para penyokong The Hammers.

Polis Czech juga berkata, pihaknya telah menahan 16 penyokong Fiorentina selepas mereka menyerang penyokong West Ham di bar tempatan dan seorang pegawai polis sebelum perlawanan.

Jaringan Jarrod Bowen pada minit ke-90 membolehkan West Ham kendalian David Moyes merangkul kejuaraan trofi Eropah pertama kelab London itu sejak tahun 1965 apabila menewaskan Fiorentina, 2-1.

Sebagai rekod, West Ham adalah juara kedua Piala Konferensi selepas kelab Serie A, AS Roma tahun lalu itu.

Kemenangan itu membolehkan West Ham turut menempah tiket ke saingan Liga Europa musim depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!