42,000 tan gula sebulan di pasaran
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan sejumlah 42,000 tan gula akan berada di pasaran setiap bulan.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu bertujuan memastikan bahan mentah berkenaan sentiasa mencukupi menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi.
"Kita telah melanjutkan Ops Manis 2.0 sehingga 30 Jun ini di seluruh negara bagi memastikan bekalan dan pengedaran gula stabil bagi kegunaan rakyat.
"Saya telah memberikan taklimat kepada kementerian melalui badan penguat kuasa supaya lebih proaktif dan agresif untuk beberapa bulan ini.
"Ia bagi memastikan keberadaan bekalan gula pasir putih bertapis kasar dan halus untuk rakyat," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu, beliau merasmikan Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Menu Rahmah di Pasar Besar Siti Khadijah di sini.
Hadir sama, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh dan Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan sebanyak 2,576 premis perniagaan telah diperiksa menerusi Ops Manis yang dilancarkan di empat negeri bermula 3 Mei sehingga 4 Jun lalu.
Salahuddin berkata, 60 aduan isu gula diterima dengan tujuh tindakan telah diambil menerusi pemantauan yang dibuat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.
Menurut beliau, bekalan gula di pasaran tidak menunjukkan sebarang masalah bekalan yang kritikal, sebaliknya mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, kerajaan menyasarkan hampir 30,000 peniaga di seluruh negara akan berdaftar dan menyertai ReDI.
Menurutnya, setakat ini seramai 12,595 peniaga telah berdaftar dengan program tersebut.
"Kerajaan sasarkan jumlah itu (30,000 peserta) sehingga tahun ini. Oleh itu, kita berharap setiap usahawan tidak melepaskan peluang ini untuk terus maju ke hadapan dan tidak ketinggalan dalam bidang perniagaan yang diceburi.
"Ia juga sebagai satu inisiatif membimbing dan membantu usahawan untuk mereka terus berinovatif serta dapat akses dengan peluang perniagaan era digital," katanya.
Tambah Salahuddin, program tersebut turut memberi sokongan, sumber daya dan bantuan teknologi kepada peniaga runcit dalam memasuki era digital yang semakin canggih dan kompleks.
Ujarnya, ia juga melibatkan beberapa cabang dan strategi termasuk pengenalan sistem pembayaran melalui imbas kod QR serta advokasi kepada peniaga.
Salahuddin memberitahu, latihan turut disediakan untuk mempersiapkan peniaga dengan pengetahuan dan ketrampilan yang diperlukan bagi menghadapi persaingan di dunia digital.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 1,372 peniaga di Kelantan telah mendaftar dalam program ReDI dan 291 daripadanya adalah peniaga di Pasar Siti Khadijah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!