Haji: Pusat Rawatan TH Syisyah lengkap rawat fizikal, spiritual
MAKKAH - Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Syisyah di sini yang beroperasi untuk memberikan khidmat kesihatan kepada 31,600 jemaah haji dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk merawat pesakit termasuklah aspek spiritual.
Terletak kira-kira tujuh kilometer dari bangunan ibu pejabat TH di Abraj Al Janadriyah, pusat perubatan itu dilengkapi dengan wad yang mempunyai 194 katil, bilik kecemasan, wad isolasi, makmal perubatan, radiologi, klinik gigi dan ambulans.
Pengarah Operasi Makkah (Perubatan), Dr Amin Sah Ahmad berkata, pusat rawatan bertaraf pakar minor yang dilengkapi peralatan canggih mempunyai 12 pakar antaranya respiratori, kecemasan, ortopedik, radiologi, bius yang menepati keperluan jemaah haji.
“Kita juga ada kerjasama yang baik dengan pihak kesihatan Arab Saudi sekiranya pesakit memerlukan rawatan lanjut dan perlu dirujuk ke Hospital King AbdulAziz dan Hospital King Faisal.
“Di sini kita akan cuba sebaik mungkin untuk jaga kebajikan jemaah haji dan berusaha supaya mereka kembali sihat agar dapat berwukuf nanti,” katanya pada sidang media di sini.
Menurutnya setakat ini hanya 37 pesakit mendapatkan rawatan yang rata-ratanya berumur 50 tahun ke atas melibatkan penyakit seperti pernafasan, cedera, jantung dan penyakit ringan lain.
“Rawatan di sini semuanya adalah percuma, ubat-ubatan yang disediakan juga lengkap daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pakar Perubatan, Dr Nabilah Salman Parasi@Sulaiman berkata, kes pneumonia iaitu jangkitan kuman paru-paru adalah penyakit yang ketara melibatkan jemaah haji.
"Pneumonia di sini adalah biasa dan kita rawat dengan antibiotik, fisioterapi, pemakanan yang baik dan juga kaunseling," katanya.
Pakar respiratori di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu berkata, selain penyakit berkenaan, pihaknya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan apabila di Tanah Suci.
"Walau apa saja kemungkinan jenis kuman atau bakteria yang mungkin wujud untuk setiap musim haji, kita sudah ada persediaan rapi untuk menanganinya," katanya.
Rawatan spiritual
Beroperasi pada tahun kedua, khidmat spiritual menjadi elemen penting menjaga aspek kerohanian pesakit yang ditempatkan di Pusat Perubatan TH Syisyah.
Pegawai Perubatan Spiritual, Dr Ahmad Fahmi Md Sahray berkata, pesakit yang dimasukkan ke wad memerlukan bantuan untuk memulihkan emosi mereka yang terganggu kerana jatuh sakit ketika berada di Tanah Suci.
“Suasana haji ini keadaan yang mencabar bagi jemaah yang berada dalam keadaan yang sihat, apatah lagi apabila seseorang itu ditimpa penyakit dan dimasukkan ke hospital.
“Rata-rata pesakit yang masuk wad ada komponen yang memberikan tekanan, kegusaran kepada mereka dari segi spiritual dan kita bantu untuk pulih supaya dapat kembali beribadah,” katanya.
Beliau berkata, rawatan itu dilakukan melalui keberadaan di sisi pesakit ketika mereka memerlukan jawapan kepada setiap persolan.
Ujar beliau, ada pesakit yang baru-baru ini dimasukkan ke wad yang sakitnya tidak kritikal tetapi persoalan spiritual begitu mendalam bertanyakan kenapa Tuhan menduganya hinggakan pesakit itu tidak dapat tidur dan menangis sehingga ke pagi.
“Ada juga seorang pesakit wanita warga emas berusia 80 tahun yang sakit tapi tidak mahu makan ubat kerana mendakwa bila makan ubat dia menjadi khayal dan tidak khusyuk dalam solat.
“Permasalahan spiritual yang mereka alami itu kita terokai dengan menerapkan aspek agama seperti tujuan kehidupan mereka, tujuan lakukan ibadah di sini dan hubungan mereka dengan ALLAH,” katanya.
Tambah beliau, terdapat segelintir jemaah haji yang pada pandangan mereka ketika menunaikan haji ini adalah hampir dengan Tuhan jadi tak sepatutnya mereka jatuh sakit.
“Mereka tertanya-tanya adakah dosa lampau menyebabkan keadaan itu terjadi hingga membawa kepada fikiran negatif.
"Hasil pendekatan unit spiritual, semua pesakit yang menghadapi masalah ini kembali sihat mental dan jiwa mereka seterusnya dapat mengatasi kesakitan fizikal yang dialami," katanya.
Beliau yang bertugas di Unit Spiritualiti dan Kesihatan, Hospital Sungai Buloh berkata, perkhidmatan itu sinonim dengan perkhidmatan perubatan di negara Barat seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat bagi membantu pesakit supaya tidak berasa keseorangan ketika dalam kesusahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!