Dua tekong, 16 awak-awak warga Vietnam didenda

Sebahagian daripada awak-awak warga Vietnam yang didenda di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Sebahagian daripada awak-awak warga Vietnam yang didenda di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang tekong warga Vietnam didenda RM300,000 manakala lapan awak-awaknya didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Keputusan dibuat selepas semua tertuduh mengaku salah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985(Akta 317).

Tertuduh Luyen, 35, turut berdepan dua tahun penjara manakala awak-awaknya yang berusia antara 25 hingga 45 tahun boleh dipenjara setahun sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba menangkap ikan tanpa kebenaran di bawah mana-mana perjanjian perikanan antarabangsa dan tanpa permit sah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu semasa berada di atas vesel penangkapan ikan asing di kedudukan pada jarak lebih kurang 24.5 batu nautika dari Paka, Dungun, lebih kurang jam 3.45 petang, pada 22 April lalu.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 yang dibaca bersama Seksyen 52(1)(a)(1) dan (11) akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi beserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang tekong warga Vietnam didenda RM400,000 manakala lapan awak-awaknya didenda RM40,000 selepas didapati bersalah cuba menangkap ikan menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh, Truong Van Tang, 41, turut berdepan dua tahun penjara dan awak-awaknya berusia antara 24 hingga 53 tahun dipenjara setahun sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba menangkap ikan dengan menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran dibawah mana-mana perjanjian perikanan antarabangsa dan tanpa satu permit sah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia di bawah Seksyen 19 Akta Perikanan 1985( Akta 317).

Mereka didakwa melakukan kegiatan menangkap ikan iaitu mempunyai mesin penggulung pukat(net drum) serta sebidang pukat tunda, mesin pedati pukat tunda, gallow, sepasang papan tunda yang berkarat, Net Nauler, dua bidang pukat hanyut bersaiz benang 040x 4 inci, umbai, tali dan pelampung.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kedudukan 40 batu nautika dari Perairan Kuala Terengganu, di sini, semasa berada di atas vesel nelayan asing lebih kurang jam 11.40pagi, pada 19 April lalu.

Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985(Akta 317) yang dibaca bersama Seksyen 24(1) Akta yang sama, Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) dibaca bersama Seksyen 52(1)(a)(1) dan Seksyen 52(1)(a)(11) Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

Mahkamah turut mengarahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi beserta peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan laut dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Selain itu, mahkamah juga mengarahkan buku lesen tempatan palsu dan permit kerja palsu dilucut hak.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan dihadapan Hakim Azman Mustapha.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!