KPM tidak keluarkan ranking sekolah terbaik SPM - Fadhlina

Fadhlina (tengah) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada sekolah terpilih ketika Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Pendidikan Peringkat Negeri Kedah pada Sabtu.
Fadhlina (tengah) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada sekolah terpilih ketika Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Pendidikan Peringkat Negeri Kedah pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah mengeluarkan sebarang ranking sekolah terbaik dalam negara berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, oleh itu ibu bapa dinasihatkan tidak terpengaruh dengan ranking terbabit sebaliknya fokus kepada pencapaian anak-anak.

Menurutnya, keputusan berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) itu bukan untuk dipertandingkan sebaliknya sebagai sokongan ke arah peningkatan sekolah itu pada masa hadapan.

"Kementerian tidak pernah mengeluarkan ranking tersebut. Siapa yang buat ranking itu pun di luar pengetahuan kita (KPM)," katanya ketika Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Pendidikan Peringkat Negeri Kedah di sini pada Sabtu.

Tambah Fadhlina, nilai GPS adalah untuk mengukur prestasi sesebuah sekolah itu di peringkat daerah dan negeri.

"la bukan untuk dipertandingkan kerana ia adalah untuk melihat usaha yang akan dilaksanakan pada tahun mendatang.

"Jadi tidak timbul soal ranking dan kita tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mahupun pengesahan tentang ranking tersebut," katanya.

Fadhlina berkata, KPM menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan ranking tersebut yang disifatkan boleh berubah pada masa akan datang.

"Kita lihat kemajuan anak-anak kita sendiri melalui pendekatan pengukuhan ekosistem penglibatan ibu bapa, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), PIBKS (Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta) untuk anak-anak cemerlang," katanya.

Dalam perkembangan lain, menurut Fadhlina, KPM sentiasa memantau dan memberi bimbingan kepada lepasan SPM terlibat berkaitan hala tuju masing-masing termasuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!