UMNO perjuang nasib pekerja gig - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - UMNO akan memperjuangkan nasib pekerja gig seluruh negara, kata presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu diusulkan lebih awal bagi menjaga kebajikan semua pekerja terbabit.
"Memorandum ini dihantar pada UMNO untuk membela nasib pekerja dalam industri ekonomi gig tetapi mereka datang bukan sekadar hantar memorandum namun mengucapkan terima kasih atas inisiatif yang membawa perkara ini.
"UMNO akan memperjuangkan nasib pekerja gig seluruh negara, insya-ALLAH," katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan memorandum di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, UMNO mencadangkan kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) untuk mengawal selia ekosistem industri gig di negara ini.
Ahmad Zahid berkata, saranan tersebut juga bagi menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna sektor tersebut.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berterima kasih kepada Ahmad Zahid dan UMNO atas keprihatinan terhadap kebajikan pekerja industri gig terutama melibatkan isu antaranya ketidakstabilan jaminan pendapatan selain harga lantai dan harga syiling perlu diwujudkan.
"Kami bersyukur atas berita gembira ini dan terima kasih kepada UMNO kerana membawa suara kami.
"Jadi kita harap dengan adanya SEGiM dapat membantu permasalahan yang dihadapi selama ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!