Shaik Abdul Rasheed calon tepat, paling sesuai - Bekas gabenor

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour adalah calon yang tepat dan paling sesuai untuk menjadi peneraju bank pusat negara, kata bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Pada Jumaat, bank pusat mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Abdul Rasheed sebagai Gabenor untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.

"Beliau adalah calon yang tepat dan paling sesuai. Beliau akan berjaya dalam memacu kestabilan monetari dan kewangan negara,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, etika kerja Abdul Rasheed yang kuat, pendekatan kolaboratif dan inklusif telah memberikan perkhidmatan yang baik kepada bank dan negara, kata Muhammad.

Beliau berkata, tanggungjawab seorang pegawai bank pusat sentiasa mencabar berdasarkan keperluan untuk mengimbangi kepentingan pelbagai pihak berkepentingan dalam persekitaran kewangan dan ekonomi global yang semakin mencabar.

Muhammad menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor pada 2016.

Dua tahun kemudian, pada 1 Julai 2018, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dilantik sebagai Gabenor. Tempoh perkhidmatan beliau tamat pada 30 Jun 2023.

Sementara itu, Nor Shamsiah dalam kenyataan berkata, beliau yakin Abdul Rasheed merupakan pilihan yang tepat untuk menerajui bank sebagai Gabenor, setelah bertahun-tahun bekerjasama rapat dengannya.

"Saya yakin dengan keupayaan beliau untuk memimpin bank bagi terus memenuhi mandat bank iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!