KKM cadang tambah pusat rawatan kanser

Dr Zaliha (tiga dari kanan) bersama Ling Lee (tiga dari kiri) dan Alex (tengah) ketika gimik perasmian program ‘Against All Odds – A tribute to Cancer' di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dr Zaliha (tiga dari kanan) bersama Ling Lee (tiga dari kiri) dan Alex (tengah) ketika gimik perasmian program ‘Against All Odds – A tribute to Cancer' di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal mewujudkan lebih banyak pusat rawatan kanser di seluruh negara bagi memberi kemudahan kepada pesakit.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, buat masa ini pihak merancang untuk mengadakan pusat rawatan kanser berkenaan mengikut zon di negeri-negeri tertentu.

Menurutnya, idea itu timbul kerana pusat rawatan kanser yang ada ketika ini berpusat di Lembah Klang.

“Kita faham mereka (pesakit) hendak datang ke Kuala Lumpur perlukan kos dan perlu datang dengan keluarga dan sebagainya, jadi efektifnya kita mahu bina pusat rawatan berhampiran dengan tempat tinggal mereka.

“Setakat ini akan wujudkan pusat rawatan di zon utara, timur Sabah dan Sarawak memandangkan kawasan ini pusat rawatan kanser khusus terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ‘Against All Odds – A tribute to Cancer Survivor’ di Hospital Gleneagles di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengasas Cancer Survivor Malaysia, Zuraini Kamal; Penasihat Klinikal Gleneagles, Datuk Dr Alex Matthews; Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles, Hoo Ling Lee; Ketua dan Perunding Onkologi Gleneagles, Rachael Khong Kit-Tsan.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, pihaknya komited untuk mengukuhkan program pemeriksaan kanser untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses kepada diagnosis yang tepat.

“Kita juga mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan saringan, selain memupuk kesedaran orang ramai tentang kepentingan pengesanan awal kanser,” ujarnya.

Tambahnya lagi, KKM memerlukan penglibatan aktif, petugas, masyarakat, sektor swasta dan individu itu sendiri untuk mewujudkan respons yang komprehensif dan terkoordinasi.

“Kepada petugas kesihatan, terima kasih yang tidak terhingga atas usaha gigih anda dan dedikasi untuk membantu pesakit kanser selama ini,” kata Zaliha.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!