Kerajaan teliti permintaan naikkan harga lantai getah
KUALA KANGSAR - Kerajaan sedia meneliti permintaan pekebun kecil untuk menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam Belanjawan 2023 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun diumumkan kenaikan harga lantai tersebut kepada RM2.70 daripada RM2.50 sekilogram.
Menurutnya, namun berdasarkan maklum balas daripada pekebun kecil, harga itu perlu dinaikkan lagi sekurang-kurangnya sehingga RM3 sekilogram.
"Alasan diberikan pekebun kecil ialah input untuk perladangan ketika ini naik khususnya baja dan sebagainya. Dari situlah mereka melihat bahawa untuk balik modal perlu dinaikkan sekurang-kurangnya RM3, itu yang diharapkan.
"Saya akan membawa ke peringkat kerajaan, kabinet dan cadang kepada Kementerian Kewangan sama ada boleh dipertimbangkan atau tidak," katanya kepada pemberita ketika menyempurnakan pelepasan dan perasmian program Trek Komoditi 2023 di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiausaha KPK, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Fadillah berkata, sebarang keputusan yang akan dibuat masih bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.
Sementara itu, mengenai program Trek Komoditi dilancarkan, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ia dilaksanakan bertujuan mendapatkan maklum balas daripada keseluruhan rantaian komoditi.
Menurutnya, program bermula di zon utara melibatkan negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sebelum ke Sabah dan Sarawak.
Katanya, selepas itu Trek Komoditi akan ke zon Pantai Timur dan berakhir di zon Selatan.
"Tujuan kita adalah berjumpa pemegang taruh dan semua pelanggan kita yang terlibat dengan sektor perladangan dan komoditi untuk kita mendapat input dari segi dasar yang kita laksanakan dan juga strategi pelaksanaan yang kita rencanakan adakah ia sampai ke bawah.
"Kita juga mahu melihat di manakah kelemahan yang perlu kita tambah baik. Apakah input, cadangan yang diberikan oleh setiap pemegang taruh supaya nanti kita boleh bawa balik untuk kita rencanakan dalam Rancangan Malaysia seterusnya," katanya.
Sementara itu, Fadillah menjelaskan Kuala Kangsar dipilih kerana pokok getah pertama yang ditanam di negara ini berada di situ.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!