Kertas Putih Kesihatan dibentang minggu depan
KUALA LUMPUR - Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentangkan di Parlimen pada 13 Jun ini.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara berkenaan Kertas Putih Kesihatan itu telah dibawa ke peringkat kabinet dan kabinet bersetuju untuk dibawa ke Parlimen.
“Kalau tiada halangan perkara ini akan dibentangkan minggu hadapan seperti yang telah dimaklumkan kepada saya,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Gleneagles di sini pada Sabtu.
KKM menjangkakan pelan mereformasikan sistem kesihatan negara ini akan dilaksanakan secara berfasa merangkumi tempoh 15 tahun berkait penerimaan dan persetujuan dwipartisan terhadap hala tuju reformasi sistem kesihatan negara.
Sementara itu berhubung Rang Undang-Undang Kawalan Produk Rokok, Zaliha berkata, perkara itu juga akan dibentangkan di Parlimen minggu depan.
“Kita mahu laksanakan undang-undang ini segera bagi mengelak pelajar sekolah menjadi perokok.
“Merokok juga berkait dengan penyakit kanser jadi kerjasama semua pihak diperlukan untuk penguatkuasaan dan pengawalan agar ianya tidak membahayakan kesihatan anak-anak,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan seramai 43,360 pelajar sekolah antara 1.5 juta perokok dan penghisap vape di negara ini yang mana, jumlah itu amat membimbangkan.
Jumlah itu diperoleh daripada saringan menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) pada tahun lalu.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, daripada jumlah itu, 43,000 adalah pelajar sekolah menengah dan 341 pelajar sekolah rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!