PN-Perpaduan Ummah alternatif terbaik - Khairil Nizam

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Kombinasi Perikatan Nasional (PN) dengan Perpaduan Ummah adalah lebih baik berbanding gabungan Pakatan Harapan (PH)-UMNO yang didominasi oleh DAP, kata Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin.

Menurut Ahli Parlimen Jerantut itu, kombinasi gabungan itu didominasi kuasa politik Melayu yang merupakan kunci kestabilan nasional kerana merupakan bangsa majoriti.

"Kestabilan telah terbukti apabila kumpulan majoriti menerajui pemerintahan dan menjaga hak kaum-kaum lain dalam masa yang sama.

"PN-Perpaduan Ummah adalah alternatif terbaik berbanding PH-UMNO yang didominasi oleh DAP dan diikat dengan penipuan luar tabi’e (No DAP, No Anwar) yang dicanangkan oleh pemimpin 'political chameleon' atau 'mengkarung politik' sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Abdul Hadi sebelum ini melontarkan pandangan bahawa pengaruh sesebuah kaum atau etnik dalam menentukan kekuasaan nasional sangat penting.

Ujar Ahli Parlimen Marang itu, ia dibuktikan dengan pandangan ilmuan Islam yang mana pemilihan ketua negara mesti berdasarkan etnik atau kaum yang memiliki pengaruh tinggi.

Dalam pada itu, Khairil Nizam menegaskan bahawa Pas berpegang teguh pada pendekatan politik secara aman, matang dan sejahtera serta tegas menolak sebarang pencabulan terhadap kesucian Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

“Pas dan PN akan terus membawa agenda perpaduan ummah berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai satu formula ampuh kestabilan politik dan pentadbiran negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!