UMNO perlu proaktif, kenal pasti calon PRU16 - Johari

Mohamed Johari ketika Ucapan Penggulungan. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohamed Johari ketika Ucapan Penggulungan. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO perlu proaktif dengan mula mengorak langkah untuk memilih calon yang bersesuaian bagi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perubahan tersebut perlu dilakukan memandangkan pada PRU lepas, UMNO tidak berjaya memenangi kebanyakan kerusi Parlimen.

“Saya nak cadangkan, sebenarnya parti UMNO ada unik sikit, kalau nak pilih calon bertanding, kadang-kadang lagi dua hari lagi pencalonan, baru kita bagi tahu orang.

“Hari ini, kita duduk dalam kedudukan yang kalah. Kalau boleh kenal pasti calon yang nak bertanding, kita letakkan mereka kemudian bagi tahu, dalam empat tahun setengah ini kita semak mereka punya prestasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ucapan Penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Sabtu.

Tambah beliau, sekiranya calon diketengahkan itu tidak menunjukkan prestasi cemerlang, parti mempunyai masa yang mencukupi untuk meletakkan pilihan lain bagi kawasan itu.

Johari juga memaklumkan bahawa, bagi memenangi PRU dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, parti, jentera dan juga calon perlu bergerak seiring.

“Barisan Nasional (BN) kalau (kita) jaga parti ini, itu salah satu daripada langkah untuk kita menang. Kedua, kita mesti ada jentera yang mantap. Di setiap tempat yang kita bertanding ini, kalau ada parti yang bagus, tetapi kalau tiada jentera yang bagus, tidak juga boleh menang.

“Ketiga, sudah tentu juga perlukan calon yang bagus. Kesemua ini merupakan entiti yang tidak boleh dipisahkan kalau nak menang,” ujarnya.

Jelasnya, jentera juga perlu diperkasa bermula sekarang memandangkan ia merupakan antara elemen penting untuk memenangi pilihan raya.

“Kalau ada yang tidak puas hati dalam kedudukan jentera, kena selesaikan cepat-cepat. Kita nak berjalan ini empat tahun setengah, jangan nak susun jentera bila Parlimen bubar. Agak mustahil untuk kita buat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!