'DAP boleh minta maaf dengan GPS, kenapa dengan UMNO tak boleh'

Dr Muhamad Akmal semasa sidang media pada hari terakhir PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Sinar Harian /Asril Aswandi Shukor.
Dr Muhamad Akmal semasa sidang media pada hari terakhir PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Sinar Harian /Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO memberi jaminan kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan berjalan seperti biasa walaupun sayap itu lantang menuntut DAP memohon maaf sebelum ini.

Walaubagaimanapun Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyerahkan kepada kebijaksanaan barisan kepimpinan DAP sama ada mahu memenuhi tuntutan berkenaan atau sebaliknya, termasuk memikirkan segala kebaikan serta keburukan terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

"Kalau DAP boleh minta maaf dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak), kenapa dengan UMNO tak boleh. Itu alasan kita.

"Kalau dia (DAP) tidak minta maaf, mungkin ia boleh menimbulkan ketidaksenangan dalam kalangan ahli UMNO di bawah," katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meminta Pemuda UMNO tidak mengungkit kisah lama sebaliknya fokus kepada usaha memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Muhamad Akmal secara terbuka mengalu-alukan bekas pemimpin yang dipecat seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Khairy Jamaluddin untuk kembali ke pangkuan parti sekiranya mereka masih setia dan sayangkan perjuangan UMNO.

"KJ (Khairy) dan Datuk Tajuddin ada harapan dalam UMNO, ini masa untuk orang yang sayang UMNO duduk bersama dan bersatu padu, bantu (parti). UMNO memerlukan bantuan dan buah fikiran semua pihak, pemilihan (parti) sudah berakhir.

"Fokus kita adalah memperkuatkan UMNO, sesiapa yang betul sayangkan UMNO di luar sana, Pemuda mengalu-alukan mereka datang membantu parti.

"Kalau boleh terima dan dia boleh mengikut institusi parti, tidak salah untuk kita terima semula. Kita tidak boleh menafikan mereka ini mempunya jasa yang perlu dihargai," ujarnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!